KUALA LUMPUR: Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 disasar menjana jualan sebanyak RM2.5 bilion hasil sesi padanan perniagaan antara pengeksport tempatan dan pembeli antarabangsa.
Penyertaan kali ini adalah antara yang paling pelbagai dan seimbang mengikut rantau, meliputi China dan Asia Timur Laut (29 peratus), Asia Selatan (25 peratus), ASEAN (20 peratus), Afrika (12 peratus), Amerika dan Eropah (lapan peratus) serta Asia Tengah dan Barat (enam peratus).
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, program itu menghimpunkan 600 pengeksport Malaysia yang dipadankan dengan pembeli premium global, antaranya JD.com, Reliance dan Lulu yang memiliki nilai jualan tahunan gabungan melebihi RM1.5 trilion.
“Kalau hanya satu peratus daripada jumlah itu diperuntukkan bagi membeli produk Malaysia, potensi jualannya boleh mencecah RM15 bilion.
“Namun kita mengambil pendekatan konservatif dengan menetapkan sasaran RM2.5 bilion melalui INSP,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan, semalam.
Beliau berkata, proses pra padanan teliti oleh 48 pesuruhjaya perdagangan Matrade di seluruh dunia memastikan peluang yang diwujudkan benar-benar mampu menghasilkan transaksi.
Katanya, Matrade hanya memilih syarikat yang telah mencapai tahap sedia mengeksport bagi memastikan mereka berdaya saing di pasaran antarabangsa.
“Ada syarikat sebelum ini hanya menumpukan pasaran domestik kerana kekangan pengalaman.
“Dengan bantuan agensi lain seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), apabila mereka sudah bersedia, Matrade menjadi pembuka pintu untuk menghubungkan mereka dengan pembeli global.
“Kita juga menerima kehadiran pembeli dari pasaran baharu seperti Algeria, Congo, Costa Rica, Ghana, Mali, Norway dan Panama yang secara langsung memperluas capaian global MIHAS. Dengan peluang ini, Malaysia terus mengukuhkan peranannya sebagai jambatan Asean kepada ekonomi halal dunia,” katanya. – UTUSAN










