Warga Indonesia berenang masuk ke Singapura secara haram dihukum penjara, sebatan

Warga Indonesia berenang masuk ke Singapura secara haram dihukum penjara, sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seorang lelaki Indonesia dijatuhkan hukuman penjara enam minggu dan tiga sebatan selepas didapati bersalah memasuki Singapura secara haram untuk bekerja.

Jamaludin Taipabu, 49, yang menghadapi masalah kewangan di tanah airnya nekad menaiki sebuah bot laju dari Batam sebelum terjun ke laut dan berenang ke Singapura pada September tahun lalu.

Jamaludin ditangkap bulan lalu, selepas tinggal di Singapura tanpa izin selama kira-kira 11 bulan.

Dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Akta Imigresen kerana memasuki Singapura tanpa pas yang sah dan dikeluarkan secara rasmi.

Mahkamah diberitahu Jamaludin memilih untuk masuk ke Singapura secara haram bagi mencari rezeki kerana gajinya di Indonesia tidak mencukupi untuk menampung keluarga.

Dia mendapatkan bantuan rakannya yang hanya dikenali sebagai Azwar dalam dokumen mahkamah, dan bersetuju membayar sebanyak 5 juta rupiah (RM1,276) bagi mengatur kemasukan haram itu.

Sekitar pukul 11 malam pada pertengahan September tahun lalu, Jamaludin bertemu Azwar di sebuah pantai di Batam.

Dia menaiki bot laju yang dipandu Azwar dan bersembunyi di dalamnya selama kira-kira sejam setengah sebelum bot itu menghampiri perairan Singapura.

Azwar kemudian memaklumkan mereka telah memasuki perairan Singapura dan mengarahkan Jamaludin supaya terjun ke laut.

Jamaludin akur, menggunakan alat apungan buatan sendiri untuk berenang ke arah Singapura dan tiba di sebuah pantai yang tidak diketahui lokasinya sekitar sejam kemudian sebelum berjaya masuk tanpa dikesan pihak berkuasa.

Sepanjang berada di Singapura, Jamaludin melakukan kerja-kerja sambilan serta menjual rokok seludup untuk mendapatkan pendapatan namun akhirnya ditahan pada 12 Ogos lalu di kawasan Sungei Kadut, berhampiran daerah Woodlands oleh pegawai Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Semakan rekod turut mengesahkan tiada catatan kemasukannya ke negara itu, namun cap jarinya sepadan dengan identiti yang didaftarkan atas namanya.

Melalui seorang jurubahasa di mahkamah, Jamaludin menyatakan penyesalan atas tindakannya dan merayu agar hukuman terhadapnya diringankan.

Dalam kenyataan kepada CNA, pihak ICA menegaskan mereka mengambil pendirian tegas terhadap individu yang memasuki Singapura secara haram.

“Di bawah peruntukan Akta Imigresen, mana-mana individu yang memasuki Singapura tanpa pas yang sah dianggap melakukan kesalahan,” kata ICA.

Jika disabitkan kesalahan, seseorang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan.

Bagi pesalah lelaki, hukuman juga termasuk minimum tiga sebatan, manakala pesalah wanita boleh dikenakan denda sehingga 6,000 dolar Singapura (RM19,702).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×