KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu maklumat daripada pihak Myanmar susulan satu sindiket yang ditumpaskan dipercayai terbabit kegiatan penyeludupan dadah dalam kuantiti besar ke Malaysia, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak anti narkotik Myanmar berhubung perkara tersebut.
“Ia masih dalam proses siasatan dan sedang bekerjasama dengan pihak narkotik (anti narkotik) Myanmar.
“Kita masih menunggu beberapa maklumat daripada pihak sana (Myanmar),” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ahad lalu, Utusan Malaysia melaporkan polis sedang menyiasat kemungkinan terdapat pembabitan sindiket tempatan dalam rangkaian dadah antarabangsa dari Myanmar susulan rampasan besar-besaran di negara itu, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, siasatan sedang dijalankan berhubung kemungkinan wujudnya kerjasama kumpulan pengedaran dalam negara dengan rangkaian antarabangsa berkenaan.
Minggu lalu, portal berita Myanmar melaporkan pasukan anti narkotik negara terbabit menumpaskan sindiket dipercayai terbabit kegiatan penyeludupan dadah dalam kuantiti besar ke Malaysia.
Portal berita dilaporkan berkata, sindiket itu lumpuh selepas enam suspek ditahan dalam operasi membanteras dadah di Perbandaran Shwepyitha, Yangon pada 5 September lalu.
Polis menemukan 1,840 kilogram (kg) syabu (methamphetamine), empat juta pil perangsang dan 14kg heroin yang disembunyikan di sebuah gudang.
Pihak berkuasa negara itu dilaporkan berkata, dadah dipercayai dibeli dari Negeri Shan dan diarahkan untuk dihantar ke Malaysia.
Laporan itu mendakwa semua individu berkenaan dikaitkan dengan kumpulan kumpulan bersenjata Arakan Army, dengan penyiasat memaklumkan pasaran dadah itu meliputi Bangladesh dan Malaysia hingga ke negara-negara Barat dan Asia Barat.
Dalam operasi sama pada Ogos lalu, pil amphetamine, syabu dan ketamin dianggarkan bernilai RM300 juta (AS$71 juta) dirampas selepas beberapa ketua sindiket ditahan.- UTUSAN








