Remaja dicekup cuba seludup dadah ke negara jiran

Remaja dicekup cuba seludup dadah ke negara jiran

MOHAMAD Zainal Abdullah menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang media di IPK Sarawak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Satu sindiket pengedaran dadah yang didalangi seorang lelaki warga emas dengan menggunakan seorang remaja lelaki sebagai pengedar tumpas melalui siri tangkapan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata kejayaan itu hasil daripada tangkapan suspek berusia 18 tahun oleh pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian di tepi Jalan Tebedu-Serian, berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu kira-kira jam 2.45 petang, 24 September lalu.

Katanya hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan dadah Methamphetamine seberat 20.611 kilogram yang dianggarkan bernilai RM783,218, yang dipercayai hendak diseludup keluar ke negara jiran.

Berikutan itu, beliau berkata pada 25 September kira-kira jam 5.50 petang, pasukan JSJN IPK Sarawak telah menangkap seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun di sebuah pangsapuri di Jalan Tun Jugah, di sini.

Tambahnya, pasukan serbuan turut menyita harga bernilai RM448,272 iaitu terdiri daripada wang tunai RM19,350, wang tunai mata wang asing (Singapura, Vietnam, Indonesia, Thailand dan Hong Kong) bernilai RM68,225, tiga bentuk cincin emas bernilai RM27,393, kepala tali pinggang emas bernilai RM28,304, seutas jam tangan Rolex bernilai RM55,000 dan sebuah kereta Lexus RX300 bernilai RM250,000.

Justeru, katanya jumlah keseluruhan harga dadah dan nilai sitaan harta adalah lebih RM1.2 juta.

“Sindiket ini mula aktif sejak awal 2024 dan modus operandi yang mereka gunakan adalah mendapatkan bekalan dadah daripada ahli sindiket di Semenanjung Malaysia.

“Ahli sindiket kemudian membawa dadah ke Sarawak menggunakan kapal terbang.

“Sindiket turut menawarkan upah RM5,000 sebagai bayaran penghantaran dadah,” katanya pada sidang media di IPK Sarawak, hari ini.

Mohamad Zainal berkata ujian saringan air kencing ke atas suspek pertama adalah negatif dadah manakala suspek kedua positif Ketamin, Benzo, THC dan Methamphetamine.

Tambahnya, suspek pertama juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau manakala suspek kedua mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 73(1)(g), Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Katanya suspek pertama kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 25 September hingga 2 Oktober manakala suspek kedua dari 26 September hingga 3 Oktober.

Mohamad Zainal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum mati, juga dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×