Pas lantik Annuar Musa, MB Perlis sebagai AJK Pusat - Utusan Malaysia

Pas lantik Annuar Musa, MB Perlis sebagai AJK Pusat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas mengumumkan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli sebagai antara 11 Ahli Jawatankuasa (AJK) Lantikan Pas Pusat berkuatkuasa serta-merta.

Terdahulu, Shukri bersama tujuh lagi AJK Lantikan baharu telah tewas dalam pemilihan sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-71 yang berakhir hari ini.

Mereka antaranya Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria; Ahli Parlimen Parit Buntar, Mishabul Munir Masduki; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Dr. Najihatussalehah Mohamad dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas, Dr. Rosni Adam.

Selain itu, mereka yang tewas dan dilantik sebagai AJK Pas Pusat ialah Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi; Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dan ADUN Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah.

Dua lagi AJK lantikan yang dikekalkan ialah ADUN Melor, Wan Rohimi Wan Daud dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr. Mohd. Mazri Yahya.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat turut mengekalkan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Datuk Iskandar Abdul Samad (Bendahari); Ahmad Fadhli Shaari (Ketua Penerangan) dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor (Ketua Pengarah Pilihan Raya).

Sementara itu, empat Pesuruhjaya baharu diumumkan melibatkan Perlis, Perak, Johor dan Sarawak.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dilantik mengepalai Pas Perak menggantikan Razman manakala Mohd. Shukri digantikan dengan Ahmad Ali di Perlis.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin digantikan oleh Ketua Sidang As-Sabiqun, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dan Sarawak pula diisi oleh Mohammad Arifiriazul Paijo menggantikan Jofri Jaraiee. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×