GEORGE TOWN: Malaysia berpotensi muncul sebagai hab pendaratan ikan tuna terbesar di rantau ASEAN berikutan langkah kerajaan menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat utama industri itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah strategik itu akan membuka lembaran baharu dalam sektor perikanan negara yang sebelum ini hanya menjadikan tuna sebagai pendaratan sampingan.
Katanya, potensi industri tuna amat besar dengan pasaran global kini bernilai kira-kira USD42 bilion setahun dan dijangka meningkat kepada USD54 bilion pada 2032, termasuk permintaan tinggi bagi produk premium seperti tuna sejuk beku -60°C.
”Malaysia dengan kedudukan strategik di persimpangan maritim dunia, tidak boleh hanya menjadi penonton. Kita mesti merebut peluang ini agar perairan, pelabuhan, dan tenaga kerja kita menjadi sebahagian penting dalam rantaian bekalan antarabangsa.
”Kita tidak mahu lagi hasil tangkapan bernilai tinggi didaratkan di negara jiran. Setiap kali sebuah vesel berlabuh di luar negara, kita kehilangan pekerjaan, cukai, nilai tambah, dan peluang melatih anak muda tempatan.
”Dengan infrastruktur moden di Pulau Pinang,termasuk fasiliti pendaratan eksklusif -60°C dan North Butterworth Container Terminal (NBCT) yang mampu mengendalikan 2.3 juta TEU setahun, inilah bukti bahawa Malaysia kini mampu bersaing dengan Singapura, Thailand dan lain-lain,” katanya ketika berucap di Pelabuhan Pulau Pinang, di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Asia Ocean Resources Sdn Bhd dan Penang Port Sdn Bhd serta penyaksian pendaratan hasil ikan tuna (-60°c) dan pelancaran produk tuna ‘shinkai origin’.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pendaratan ikan tuna di Pulau Pinang bukan sahaja akan meletakkan negeri ini di peta dunia, tetapi menjadikan Malaysia sebagai hab penting di rantau ini. – UTUSAN










