DILI: Polis Timor Leste melepaskan gas pemedih mata ketika penunjuk perasaan berhimpun bagi membantah rancangan kerajaan membeli kereta rasmi baharu untuk ahli Parlimen, yang mencetuskan kontroversi di negara antara termiskin di Asia Tenggara itu .
Lebih 2,000 orang kebanyakannya pelajar daripada beberapa universiti di ibu kota Dili berkumpul berhampiran Parlimen Nasional bagi membantah rancangan membeli kereta untuk setiap daripada 65 anggota Parlimen.
Perhimpunan yang bermula secara aman bertukar tegang apabila polis melepaskan gas pemedih mata selepas sebahagian penunjuk perasaan membaling batu ke arah mereka.
Parti-parti sama sebelum ini meluluskan bajet 2025 yang memasukkan peruntukan untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu itu.
Penunjuk perasaan berikrar akan terus mengadakan demonstrasi sehingga rancangan itu dibatalkan secara rasmi.
“Kami mahu keputusan membeli kereta ini dibatalkan. Keputusan ini perlu dibuat oleh Presiden Parlimen Nasional.
“Mereka perlu hentikan tabiat buruk membeli kereta,” kata aktivis, Domingos de Andrade, 34, kepada wartawan.
Penunjuk perasaan turut membakar tayar dan sebuah kenderaan kerajaan berhampiran bangunan Parlimen.
Bantahan itu menyusuli demonstrasi serupa pada Isnin, yang mendorong beberapa parti politik mengumumkan mereka akan meminta Parlimen membatalkan pembelian tersebut.
Dalam kenyataan bersama pada Isnin, Kongres Nasional untuk Rekonstruksi Timor, Parti Demokratik dan parti Enrich the National Unity of the Sons of Timor berkata, pembelian itu tidak mencerminkan kepentingan awam dan berikrar akan meminta Parlimen membatalkan rancangan tersebut.-AFP










