MALAYSIA kini sedang berada di ambang perubahan demografi paling dramatik dalam sejarah moden negara.
Dalam tempoh dua dekad dari 2020 hingga 2040, jumlah warga emas dijangka meningkat hampir dua kali ganda, daripada 2.3 juta kepada 4.6 juta orang.
Fenomena ini bukan sekadar perubahan angka tetapi transformasi struktur penduduk yang akan membawa implikasi besar terhadap pembangunan sosioekonomi negara.
Apabila dibandingkan dengan negara jiran di rantau Asia Tenggara, kadar penuaan di Malaysia berlaku lebih pantas daripada purata global. Malaysia sedang meninggalkan era ‘dividen demografi’ dan menuju ke arah masyarakat menua. Ia peralihan yang menuntut perhatian, perancangan dan tindakan segera di semua peringkat.
Sepanjang lima dekad bermula 1970-an, Malaysia menikmati faedah luar biasa daripada struktur demografi yang menguntungkan, dikenali sebagai dividen demografi. Pada waktu itu, pertambahan besar tenaga kerja dalam kalangan populasi usia produktif (15–64 tahun) menyokong pertumbuhan ekonomi pesat dan transformasi struktur ekonomi negara.
Fasa pertama (1970–1990) menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat hampir sembilan kali ganda. Malaysia beralih daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi pembuatan. Bahagian populasi usia bekerja meningkat daripada 52.2 peratus kepada 58.9 peratus dalam tempoh ini.
Fasa kedua (1990–2010) merupakan kemuncak era dividen demografi. Nisbah populasi usia bekerja mencapai 67.7 peratus, antara yang tertinggi dalam sejarah negara.
Pelaksanaan pelbagai dasar transformasi ekonomi seperti penswastaan, perluasan sektor perkhidmatan dan pembangunan industri teknologi turut melonjakkan KDNK sebanyak 6.5 kali ganda.
Fasa ketiga (2010–2020) mula menunjukkan tanda perlambatan. Walaupun populasi usia bekerja kekal tinggi pada 70.4 peratus, namun pertumbuhan ekonomi mula perlahan. Pada masa sama, nisbah tanggungan warga emas meningkat daripada 7.37 kepada 10.25, menandakan tekanan awal daripada peralihan demografi kepada masyarakat menua.
MENUJU MASYARAKAT MENJADI TUA
Dekad 2020–2030 dianggap sebagai dekad terakhir Malaysia menikmati faedah dividen demografi. Populasi usia bekerja dijangka mencapai kemuncak pada 2030 (70.8 peratus) sebelum mula menyusut. Dalam tempoh ini, nisbah tanggungan warga emas akan meningkat kepada 13.76, meletakkan tekanan besar kepada sistem kesihatan, perlindungan sosial dan dasar fiskal negara.
Menjelang 2040, Malaysia dijangka secara rasmi menjadi masyarakat menua, apabila 11.9 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas melepasi ambang 7 peratus yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk kategori populasi menua.
Ini akan menuntut perubahan menyeluruh dalam perancangan negara, termasuk penyediaan infrastruktur mesra warga emas, pembiayaan kesihatan jangka panjang dan sistem pencen yang mampan.
Namun, era ini juga membuka peluang besar. Konsep ekonomi perak yang merangkumi perkhidmatan dan produk untuk warga emas seperti penjagaan kesihatan, teknologi bantuan dan kewangan peribadi boleh menjadi sumber pertumbuhan baharu jika dirancang dengan baik.
TSUNAMI PENUAAN
Malaysia dijangka berhadapan dengan apa yang digambarkan sebagai tsunami penuaan iaitu lonjakan drastik dalam bilangan warga emas, dari hanya 357,000 pada 1970 kepada 4.6 juta menjelang 2040.
Peningkatan sebanyak 12.9 kali ganda ini berlaku dalam tempoh yang jauh lebih singkat berbanding negara maju, yang biasanya mengambil beberapa generasi untuk mengalami proses penuaan.
Implikasinya besar. Nisbah tanggungan warga emas dijangka meningkat daripada 6.28 pada 1970 kepada 17.09 pada 2040. Ini bermakna setiap 100 orang bekerja perlu menyokong hampir 17 warga emas beban yang akan memberi tekanan kepada sistem pencukaian, insurans sosial, penjagaan kesihatan dan perbelanjaan kerajaan.
Tambahan pula, semasa era dividen demografi. (1970–2010), pertumbuhan KDNK meningkat 59 kali ganda, menunjukkan korelasi jelas antara struktur demografi dan kekuatan ekonomi. Kehilangan kelebihan ini menuntut Malaysia mencari sumber pertumbuhan baharu yang lebih lestari.
TINDAKAN SEGERA
Tempoh antara 2025 hingga 2035 adalah fasa kritikal, satu jendela peluang terakhir untuk Malaysia membuat persiapan rapi sebelum memasuki fasa beban demografi sepenuhnya.
Dalam fasa ini, kos menjaga warga emas akan meningkat mendadak, manakala tenaga kerja produktif akan mula berkurangan.
Analisis kos faedah menunjukkan kelewatan dalam pelaksanaan dasar penyesuaian demografi akan meningkatkan kos jangka panjang sebanyak 15 hingga 20 peratus setiap tahun. Oleh itu, tindakan segera menjadi keperluan ekonomi yang mendesak.
Titik ‘tidak boleh kembali’ dijangka berlaku sekitar 2030 hingga 2035 apabila momentum penuaan penduduk tidak lagi dapat diubah. Pada waktu itu, pertumbuhan ekonomi tidak lagi boleh bergantung kepada faktor demografi, tetapi mesti didorong oleh:
- Inovasi teknologi
- Peningkatan produktiviti
- Automasi dan digitalisasi
- Pelaburan dalam ekonomi perak
- Pembinaan modal insan yang cekap dan berkemahiran tinggi
STRATEGI JANGKA PANJANG
Malaysia mesti melaksanakan pelbagai inisiatif jangka panjang untuk mengurus cabaran penuaan penduduk ini secara berkesan:
- Pembangunan infrastruktur mesra warga emas : Perumahan, pengangkutan dan fasiliti awam yang menyokong keperluan fizikal dan psikososial warga emas.
- Sistem kesihatan lestari : Penstrukturan semula sistem penjagaan kesihatan dengan fokus kepada penjagaan kronik dan kesihatan jangka panjang.
- Pembaharuan sistem pencen dan perlindungan sosial : Menyediakan jaminan pendapatan yang mencukupi dan mampan untuk warga emas.
- Perangsang ekonomi perak : Galakan kepada industri perkhidmatan kesihatan, inovasi teknologi warga emas dan produk gaya hidup mesra senior.
- Latihan semula tenaga kerja berusia : Membolehkan warga emas kekal aktif dalam pasaran buruh melalui pendidikan sepanjang hayat dan penyesuaian kerjaya.
Trend penuaan di Malaysia adalah realiti yang tidak dapat dielakkan. Namun, ia bukan semata-mata cabaran tetapi peluang untuk merangka semula ekonomi negara.
Era dividen demografi mungkin berakhir tetapi dengan dasar yang proaktif dan pendekatan inklusif, Malaysia boleh melangkah ke era ekonomi perak dengan yakin dan bersedia.
Sekarang adalah masa untuk bertindak sebelum ‘penuaan’ menjadi beban, bukan berkat.-UTUSAN
DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) & Ahli Forum Ekonomi Manusiawi.










