PENAMPANG: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turun padang meninjau keadaan mangsa banjir dan tanah runtuh yang ditempatkan di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Penampang dan Putatan, semalam.
Lawatan bermula di PPS Kampung Sarapung kira-kira pukul 5.30 petang sebelum beliau meneruskan tinjauan ke Putatan, meskipun hujan lebat berterusan.
Di PPS Kampung Sarapung, Hajiji menerima taklimat daripada Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Penampang (MPPg), Normi Dyena John Tren sebelum menyampaikan bantuan wang tunai dan bakul makanan kepada 40 Ketua Isi Rumah (KIR).
“Kehadiran saya adalah bagi menzahirkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib mangsa selain memastikan kebajikan mereka terjamin. Bantuan ini disalurkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri (JPBN).
“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan rakyat. Setiap mangsa bencana akan dibantu sewajarnya supaya mereka tidak berasa terpinggir,” katanya ketika ditemui semasa lawatan tersebut.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menguruskan PPS serta membantu memindahkan penduduk ke kawasan selamat.
Menurut Hajiji, beliau bersama JPBN yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Seri Sr Safar Untong, meninjau lokasi terjejas bagi menilai keadaan sebenar bencana.
“Kerajaan negeri dan Persekutuan akan menyalurkan bantuan segera dalam tempoh satu dua hari ini. Yayasan Kebajikan Negeri juga akan membantu,” katanya.
Terdahulu, Hajiji turut meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan Tun Fuad Stephens berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Tanjung Lipat.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew; Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd. Razali Wahab.
Di Putatan, Hajiji turut melawat PPS Dewan Seri Keramat, Ketiau yang menempatkan 40 KIR serta PPS Dewan PPR Seri Serigai yang menempatkan 56 KIR, sambil mengagihkan bantuan kepada mangsa.
Mengulas situasi semasa, Hajiji menyifatkan bencana kali ini agak serius apabila banjir, tanah runtuh serta gangguan bekalan elektrik dan air menjejaskan ramai penduduk di beberapa daerah.
“Sebab itu kita batalkan sambutan Hari Malaysia (hari ini) kerana lebih penting untuk membantu mangsa bencana,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang menyediakan RM10 juta bantuan bencana kepada Sabah, sebagai tambahan kepada RM11 juta peruntukan kerajaan negeri. – UTUSAN










