Sentiasa cantik dan menawan walau diri semakin berusia sememangnya menjadi impian setiap wanita. Namun hendak cantik tidak ada jalan mudah.
Perlu ada kesungguhan untuk memastikan hasil yang diimpikan menjadi kenyataan.
Bagi Pengasas produk kecantikan dan kesihatan Lana Labs Global, Datin Nurzarina Zakaria atau lebih dikenali sebagai Datin Reena Zach, beliau amat berdisiplin dalam menjaga kecantikan dan kesihatan.
Katanya sejak remaja hinggalah berkeluarga dan memiliki dua orang cahaya mata, amalan penjagaan kecantikan dan kesihatannya disesuaikan seiring peningkatan usia.
Diharapkan perkongsian tip daripada pemilik akaun Instagram @reenazach ini boleh dijadikan panduan buat wanita yang mahu sentiasa cantik dan sihat dalam kehidupan mereka.
Solekan kemas bila kulit mulus
Bersolek boleh membantu wanita kelihatan cantik. Namun begitu sebelum meletakkan sebarang mekap pada wajah, personaliti berusia 37 tahun ini menasihatkan wanita agar menjaga kulit wajah terlebih dahulu.
“Kita tidak perlu bubuh mekap setiap hari kalau kulit wajah sihat dan cantik. Tetapi untuk wajah sihat dan cantik kita perlu melabur dengan memilih produk penjagaan kecantikan yang bagus dan berkualiti. Paling diingat amalkan langkah-langkah penjagaan kulit wajah terlebih dahulu sebelum mula meletakkan mekap pada wajah.
“Apabila bersolek, pastikan jangan lupa untuk memakai primer pada wajah, mata dan bibir terlebih dahulu. Cara ini mampu memastikan solekan kekal tahan dan tidak memerlukan kita sentiasa touch up setiap masa,” katanya.
Jaga penampilan
Ibu kepada Putry Daniella Qistina Khairilaziry, 16 dan Adellia Auddra Khairilaziry, 10, ini menitipkan pesan supaya wanita menjaga penampilan sekiranya mahu keluar rumah.
Tubuh dan diri perlulah kena bersiap selengkapnya dari atas hingga ke bawah.
“Wanita tak boleh selekeh setiap kali keluar rumah. Kalau tidak memakai tudung, rambut perlulah siap berdandan. Mekap juga perlu dipakai. Untuk berpenampilan cantik tidak perlu menggayakan baju mahal. Asalkan kita nampak kemas dan menarik, kita boleh bawa diri dengan penuh keyakinan.
“Kita perlu ingat apabila ada orang kenal dengan kita pasti ada yang mahu bergambar dan letak gambar tersebut di akaun media sosial mereka. Oleh itu jagalah penampilan setiap kali keluar di khalayak ramai,” katanya.
Kira kalori makanan
Reena berpegang kepada amalan penjagaan kesihatan dalaman yang baik mampu menyerlahkan kecantikan luaran.
Katanya, hendak cantik kena jaga pemakanan.
“Saya mengamalkan pemakanan sihat. Setiap hari saya akan kira berapa kalori yang saya ambil. Namun begitu sekali dalam seminggu saya ada cheat day.
“Selain itu saya akan pastikan makanan yang diambil itu ada lima kategori warna serta ada cukup vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh.
“Pengambilan suplemen juga penting terutamanya apabila tubuh tidak mendapat vitamin secukupnya daripada makanan yang kita ambil,” katanya.
Wanita jelita ini turut mengamalkan Intermittent fasting setiap hari bermula dari pukul 8.00 malam hingga 12 tengah hari ini bagi memastikan tubuhnya sentiasa langsing.
5 Tips cantik dan sihat:
1-Minum air secukupnya. Lebih kurang tiga liter air setiap hari.
2-Makan dengan betul termasuk memilih makanan organik jadi pilihan.
3-Tidur secukupnya, sekurang-kurangnya lapan jam setiap hari.
4-Bersenam dua kali seminggu. Yoga dan pilates adalah pilihan Datin Reena.
5-Lakukan terapi minda dengan melakukan apa sahaja yang anda suka.









