Pengunjung kecewa dilarang hampiri rumah warisan

Pengunjung kecewa dilarang hampiri rumah warisan

ZULKAFLI Abd. Razak hanya melihat dari jauh Rumah Datuk Maharajalela selepas dilarang menghampiri rumah tokoh pejuang itu di Kompleks Sejarah Pasir Salak, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Pengunjung ke­cewa apabila tidak dapat memasuki kawasan rumah warisan tokoh pejuang negara, Datuk Maharajalela yang sudah siap dibaik pulih di kawasan Kompleks Sejarah Pasir Salak di sini.

Seorang pengunjung dari Paka, Terengganu, Zulkafli Abd. Razak, berkata, hasratnya untuk melihat warisan sejarah penting negara di Pasir Salak tidak kesampaian apabila bukan sahaja tidak dibenarkan masuk malah tidak dibenarkan untuk menghampiri rumah tersebut.

Menurutnya, sedangkan tiada papan tanda makluman pengunjung dilarang masuk atau menghampiri rumah tersebut dan larangan itu boleh dipertikaikan.

“Rasa ralat, rasa kepuasan tak sampai apabila kami tidak dibenarkan untuk menghampiri rumah tersebut sedangkan tujuan kami ke sini untuk melihat sejarah warisan di Pasir Salak secara keseluruhan, secara meluas.

“Namun tiba-tiba kami dihalang untuk mendekati rumah tersebut. Kalau tak dapat masuk dalam rumah tak apa, sekurang-kurangnya dapat menghampiri kawasan rumah itu sudah memadai tetapi itu pun tak boleh.

“Saya juga tidak melihat ada arahan atau papan tanda melarang pengunjung masuk atau menghampiri rumah ini cuma kami dilarang menghampiri rumah ini sahaja, tiada larangan rasmi jadi perkara ini boleh dipertikaikan.

“Saya berharap pengunjung dibenarkan sekurang-kurangnya untuk menghampiri rumah warisan ini untuk kami dapat melihat dengan lebih dekat warisan dan kesenian rumah tokoh pejuang sejarah negara yang terkenal ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, pengunjung Kompleks Sejarah Pasir Salak yang ditemui berkata, kompleks tersebut hilang daya tarikan berbanding dahulu kerana tidak diselenggara de­ngan baik menyebabkan banyak bangunan warisan yang mengalami kerosakan.

Syafikah Mat Syahir, 35, berkata, semasa kecil dia pernah ke kompleks tersebut yang meriah dengan kedata­ngan pelancong yang ramai.

Katanya, namun kunju­ngannya kali ini berbeza kerana tidak lagi ramai pelancong seperti dahulu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×