Israel tingkat serangan udara halau rakyat Palestin - Utusan Malaysia

Israel tingkat serangan udara halau rakyat Palestin

PENDUDUK Palestin menyaksikan dari jauh serangan Israel di Jalan Al-Nassr di Gaza, Palestin pada 12 September 2025. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rejim Zionis mempertingkatkan serangan udaranya terhadap Gaza de­ngan menyasarkan bangunan kediaman, pusat bantuan, pusat perlindungan serta penempatan pelarian rakyat Palestin di sekitar kawasan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, peningkatan serangan dilancarkan adalah untuk memaksa umat Islam Palestin berpindah keluar.

Katanya, ia susulan kenya­taan Perdana Menteri Israel, Benjamin Natanyahu yang mengarahkan rakyat Palestin di Gaza berpindah keluar serta-merta.

“Tujuan peningkatan pengeboman dan kadar pembunuhan ini adalah untuk memaksa penduduk berpindah ke bahagian selatan Semenanjung Gaza iaitu di kem-kem sekitar kawasan tengah serta selatan membabitkan Mawasi dan Khan Younis.

“Walaupun pihak pendudukan mendakwa bahawa bahagian selatan Semenanjung Gaza adalah selamat, serangan dan pembunuhan terus berlaku di kawasan tersebut.

“Ratusan ribu orang pelarian kini berhimpit di khemah-khemah usang di bahagian barat Gaza manakala sebahagian lagi dari kawasan yang dibom terpaksa tidur di jalanan dalam keadaan yang amat daif,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Dr. Sharif berkata, perang genosid yang dilancarkan rejim Zionis telah meragut sekurang-kurangnya 64,871 nyawa dan mencederakan 164,610 orang sejak Oktober 2023 manakala ribuan lagi dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan.

Beliau berkata, krisis kemanusiaan di wilayah seluas 360 kilometer persegi itu semakin meruncing apabila hospital serta kemudahan kesihatan tidak dapat beroperasi sepenuhnya akibat sekatan terhadap kemasukan ubat-ubatan serta kemusnahan sebahagian besar infrastruktur perubatan.

“Pengarah Kementerian Ke­sihatan Gaza, Dr. Munir Al-Bursh mengatakan bahawa mangsa yang cedera di Gaza bukan sahaja terkorban akibat peluru tentera negara haram, tetapi juga disebabkan oleh jangkitan kuman yang kebal terhadap antibiotik.

“Tanpa akses kepada ubat-ubatan penting dan antibiotik yang dihalang masuk oleh Israel, doktor tidak mempunyai pilihan, selain melakukan pemotongan anggota badan bagi menyelamatkan nyawa pesakit.

“Beliau menzahirkan rasa dukacita yang mendalam kerana para doktor terpaksa mengambil langkah ini berbanding memberikan rawatan yang sepatutnya,” katanya.

Tambah Dr. Sharif, Gaza masih berada dalam keadaan kebuluran kerana bantuan kemanusiaan atau barangan yang dibenarkan masuk dikawal sepenuhnya dan dijual pada harga amat tinggi dalam kuantiti yang sangat terhad.

Katanya, kebanyakan institusi kesihatan di Gaza telah melaporkan kematian akibat kekurangan zat makanan.

“Kekurangan air minum semakin parah berikutan sekatan serta kekangan bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan loji penapisan air, di sam­ping pemusnahan banyak kemudahan dan telaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×