kUALA TERENGGANU: Jalan raya di sekitar bandar raya ini sesak luar biasa sempena cuti panjang minggu ini apabila ribuan kenderaan dari luar negeri membanjiri hampir semua laluan utama.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati aliran trafik menuju Pasar Payang bergerak perlahan, manakala laluan dari Pantai Seberang Takir ke Jambatan Angkat turut sesak dengan deretan kenderaan seolah-olah tidak putus-putus memasuki pusat bandar.
Penduduk tempatan, Rafizi Amirul, 30, turut berdepan cabaran apabila perjalanan dari Dungun ke Kuala Terengganu mengambil masa hampir lima jam berbanding kebiasaannya hanya sekitar sejam setengah.
“Tidak jangka juga trafik seperti musim perayaan, biasanya tidak seteruk ini. Tetapi pada masa sama gembira melihat ramai yang datang ke Terengganu,” katanya.
Sementara itu, ada yang terpaksa mengambil masa hampir dua jam hanya untuk melalui laluan menuju pusat bandar menerusi Jambatan Angkat, selain menempuh keadaan trafik yang perlahan tanpa henti.
Sepanjang tempoh tersebut, deretan kenderaan seolah-olah tidak bergerak malah ada pemandu mengambil peluang berhenti seketika di tepi jalan untuk merakam panorama sekitar.
Kesesakan ini turut memberi kesan kepada rutin harian buat seorang pekerja swasta, Firdaus Yahya, 32, yang tidak bercuti kelmarin dan terpaksa berdepan situasi luar biasa untuk ke tempat kerja.
“Kalau hari biasa, dari rumah saya ke pejabat ambil masa lebih kurang 20 minit sahaja tetapi semalam hampir sejam lebih baru sampai,” katanya.
Firdaus berkata, dia terpaksa keluar rumah lebih awal berbanding kebiasaan kerana bimbang lewat walaupun penat mengharungi jalan sesak, dia akur kerana faham keadaan itu berpunca daripada kemasukan pelancong luar.
Sementara itu, tinjauan dalam media sosial mendapati topik kesesakan jalan raya hangat diperkatakan malah ada yang berkongsi gambar keadaan trafik panjang berkilometer.
Namun bagi peniaga, situasi tersebut dianggap rahmat buat mereka.
Ini kerana kehadiran ribuan pelancong luar sudah tentu memberi lonjakan besar kepada jualan mereka yang habis lebih awal berbanding hari biasa.
Seorang peniaga di Pasar Payang, Hasniah Zakari, berkata, walaupun terpaksa berdepan jalan sesak untuk ke kedainya, namun kepenatan itu berbaloi apabila jualan meningkat hampir tiga kali ganda.-UTUSAN.








