DALAM arus globalisasi, Malaysia berdepan paradoks yang mana negara semakin moden tetapi perilaku tidak beradab seperti buli semakin parah.
Fenomena ini bukan lagi terbatas di bilik darjah, malah menular ke asrama, universiti, tempat kerja dan platform digital.
Data Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan kes buli meningkat daripada 3,887 kes pada 2022 kepada 5,891 pada 2023, manakala setakat Oktober 2024 sudah mencecah 5,703 kes membabitkan lebih 11,000 pelajar. Angka ini mencerminkan masalah struktural yang mendesak.
Buli juga berleluasa di ruang digital. Kajian mendedahkan hampir separuh remaja Malaysia pernah menjadi mangsa buli siber, dengan implikasi serius termasuk keresahan, kemurungan dan risiko bunuh diri.
Menurut Teori Ekologi Perkembangan Bronfenbrenner, buli berakar pada pelbagai ekosistem. Individu yang tidak mengurus emosi dengan baik, keluarga yang kurang bimbingan, budaya institusi yang menormalisasi ragging, serta media sosial yang menggalakkan penghinaan demi tontonan.
Dari segi dasar, pindaan Kanun Keseksaan 2025 (Akta A1750) yang memperkenalkan seksyen baharu 507B–507G memberi mesej jelas buli kini dianggap jenayah serius, dengan hukuman maksimum 10 tahun penjara atau denda. Namun, undang-undang hanyalah pagar dan ia perlu disokong dengan ekosistem pendidikan serta sosial yang menyeluruh.
Kajian menunjukkan program antibuli berasaskan sekolah berkesan apabila disertai latihan empati, rondaan di kawasan berisiko, polisi disiplin yang telus serta penglibatan ibu bapa.
Sokongan psikologi, khususnya melalui Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT), terbukti membantu pelajar mengurus emosi dan mengurangkan tingkah laku agresif. Modul antibuli mesti diinstitusikan sepanjang tahun, bukan bermusim.
Peranan kaunselor sekolah juga perlu diperkasa dengan latihan khusus dalam pengesanan awal risiko bunuh diri. Sementara itu, pengendali media sosial wajar bekerjasama dengan kerajaan bagi mengekang kandungan buli. Ibu bapa dan komuniti turut berperanan penting kerana tanda-tanda awal sering muncul di rumah.
Membasmi buli memerlukan gabungan dasar, institusi, keluarga, komuniti dan ruang digital. Selagi ia dianggap normal atau ‘proses mengajar’, selagi itu budaya zalim ini berakar.
Bangsa yang benar-benar maju diukur bukan hanya pada pencakar langit tetapi pada sejauh mana anak-anaknya berasa selamat untuk belajar dan hidup tanpa ketakutan.-UTUSAN
PUTERI AMNAH SAMSUL & NURUL NISHA MOHD. SHAH
Fakulti Komunikasi dan Pengajian
Media, Universiti teknologi Mara (UiTM)
Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau










