Guna berat badan bantu kempiskan perut

Guna berat badan bantu kempiskan perut

pLANK selama 30 saat setiap kali selesai melakukan senaman abdomen dapat membantu mengempiskan perut dengan lebih berkesan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi sesetengah ibu, perubahan bentuk badan terutama di bahagian abdomen membuatkan keyakinan diri sedikit merudum dan rasa tidak gembira untuk bergaya.

Sebenarnya, terdapat beberapa kaedah senaman ringkas yang boleh diamalkan untuk menghilangkan perut buncit atau menggelebeh selepas bersalin.

Jurulatih kecergasan dalam bidang senaman komuniti wanita, Saleha Aziziah Mohamed Aris berkata, secara umum, selepas tiga bulan bersalin dan berpantang merupakan masa sesuai untuk mula bersenam dengan lebih konsisten.

Selepas bersalin, tubuh wanita berada dalam fasa pemulihan yang sangat sensitif.

Oleh itu, langkah pertama yang paling bijak ialah dengan membuat senaman bebanan badan yang selamat.

Jenis senaman tersebut mungkin kelihatan ringan, namun tetap berkesan.

Begitupun, wanita disarankan agar tidak terlalu fokus pada senaman abdomen sahaja, sebaliknya, memberi perhatian pada stamina dan kekuatan otot keseluruhan.

“Jenis senaman bebanan badan hanya menggunakan berat badan sendiri sebagai rintangan, jadi ia tidak memberi tekanan berlebihan pada rahim atau otot yang masih lemah,” katanya.

Antara bentuk permulaan yang paling mudah ialah brisk walk, iaitu berjalan dengan langkah yang sederhana pantas daripada biasa.

Kedengaran seperti ringkas, tetapi ketika berjalan laju, ia mampu meningkatkan stamina dan menggerakkan seluruh badan tanpa menekan otot perut terlalu awal.

Katanya, setelah biasa membuat senaman brisk walk, boleh beralih kepada squat iaitu pergerakan asas yang menguatkan paha, punggung dan bahagian otot teras.

Squat bukan sahaja membantu daripada segi kekuatan, malah memberikan postur yang lebih baik apabila dilakukan secara konsisten.

Seterusnya, boleh mencuba senaman lunges iaitu senaman yang melibatkan langkah ke depan dengan lutut dibengkokkan. Ia mungkin nampak mudah, tetapi sebenarnya melatih keseimbangan tubuh.

Akhir sekali, setiap kali habis melakukan jenis-jenis senaman yang diberi, lengkapkan dengan plank selama 30 saat.

Otot-otot perut, belakang dan bahu akan terlatih secara berperingkat dan berkesan dengan mengekalkan posisi tubuh dalam keadaan lurus yang disokong oleh lengan dan hujung kaki.

Biarpun kelihatan sukar namun, ia akan lebih mudah jika dilakukan secara konsisten.

PEMAKANAN SEIMBANG

Begitupun, katanya, senaman akan lebih cepat menampakkan kesan sekiranya diiringi dengan pemakanan seimbang.

Justeru, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah mengurangkan pengambilan makanan tinggi minyak, gula dan diproses.

Bagi ibu-ibu yang baru selesai berpantang, keinginan untuk menunaikan segala makanan yang diidamkan memang kuat, terutama hidangan segera seperti sosej, nugget dan ayam goreng.

Namun, perlu diingatkan makanan-makanan berkenaan, mengandungi kandungan minyak berlebihan.

Keadaan itu akan melambatkan proses pemulihan dan menyukarkan usaha mengempiskan perut.

Sebaliknya, tubuh yang sedang pulih selepas bersalin memerlukan nutrisi yang baik untuk menyokong tenaga, mempercepatkan proses pemulihan dan dalam masa sama, membantu membakar lemak secara semula jadi.

Sayur-sayuran dan buah-buahan segar sumber terbaik kerana kaya dengan vitamin, mineral serta serat yang mengenyangkan.

Karbohidrat kompleks seperti nasi perang, oat dan ubi keledek pula membantu menstabilkan paras gula dalam darah serta memberikan tenaga yang lebih tahan lama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×