TANGGAL 16 September, adalah saat yang penuh bermakna bagi seluruh rakyat Malaysia. Tarikh keramat ini menandakan kelahiran Malaysia pada 1963 apabila Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung membentuk sebuah negara baharu.
Walaupun Singapura menarik diri pada 1965, Hari Malaysia kekal sebagai detik bersejarah yang perlu dihayati oleh generasi kini.
Bukan sekadar cuti umum, namun sebagai wadah untuk menilai kembali erti perpaduan, kedaulatan serta masa hadapan negara yang semakin kompleks dengan cabaran baharu, khususnya dalam era teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia membuktikan perpaduan bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai.
Indonesia melancarkan konfrontasi di bawah slogan ‘Ganyang Malaysia’, manakala Filipina menuntut hak terhadap Sabah berdasarkan perjanjian lama Kesultanan Sulu.
Namun, berkat kebijaksanaan kepimpinan dan sokongan majoriti rakyat Sabah dan Sarawak seperti dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold, Malaysia akhirnya diisytiharkan secara rasmi pada t 16 September 1963 di Stadium Merdeka.
Upacara ini disaksikan Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu, gabenor negeri-negeri serta ribuan rakyat yang hadir dengan penuh rasa syukur.
Isu perpaduan ini tidak pernah lapuk. Dalam konteks Islam, kepelbagaian bangsa, bahasa dan warna kulit adalah sebahagian daripada tanda kekuasaan Allah SWT sebagaimana disebut dalam Surah al- Rum, ayat 22. Ayat ini menegaskan kepelbagaian adalah fitrah ciptaan, bukan alasan untuk berpecah belah.
Para pemikir Islam seperti Ibn Khaldun melalui Muqaddimah turut menekankan konsep asabiyyah (solidariti sosial) sebagai asas membina kekuatan tamadun.
Menurutnya, sesebuah bangsa hanya akan maju jika ada perpaduan yang kukuh kerana perpecahan akan membawa kejatuhan. Maka, semangat kebersamaan yang diasaskan pada 1963 harus diteruskan dengan penuh penghayatan dalam konteks semasa.
Hari Malaysia 2025 diraikan dalam kerangka baharu melalui gagasan Malaysia Madani berteraskan enam prinsip iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Tema ‘Rakyat Disantuni’ memberi penekanan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang harus merasai nikmat pembangunan secara adil.
Islam melihat konsep ihsan sebagai asas dalam membangunkan sebuah negara yang adil dan sejahtera. Rasulullah SAW bersabda “Allah mencintai mereka yang berlaku adil dan keadilan adalah asas kepada keamanan”.
Dalam konteks Malaysia, perpaduan kaum dan pengagihan pembangunan yang seimbang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah tuntutan agama dan juga prinsip Malaysia Madani.
KECERDASAN BUATAN
Namun, cabaran hari ini bukan sahaja datang daripada faktor politik atau ekonomi tetapi juga teknologi, khususnya AI. Teknologi ini membawa peluang besar dalam bidang pendidikan, kesihatan, ekonomi dan keselamatan.
Misalnya, ia boleh membantu merapatkan jurang komunikasi melalui sistem terjemahan automatik bagi bahasa-bahasa tempatan atau meningkatkan keberkesanan pentadbiran awam melalui analisis data.
Tetapi, dalam masa sama, AI juga membawa risiko besar kepada perpaduan jika tidak dikawal dengan bijaksana.
Antara ancaman yang ketara adalah penyebaran maklumat palsu, propaganda maya, penciptaan identiti digital palsu serta algoritma media sosial yang boleh menimbulkan polarisasi kaum dan agama.
Pemikir Islam kontemporari, Uthman el-Muhammady begitu menekankan kepentingan ta’dib (pendidikan yang membentuk adab) dalam menghadapi cabaran moden. Tanpa adab, ilmu dan teknologi boleh disalahgunakan hingga merosakkan masyarakat.
AI tanpa nilai dan etika boleh menjadi alat yang membahayakan keharmonian negara.
Oleh itu, selaras dengan prinsip Malaysia Madani, kita perlu membina ekosistem teknologi yang bukan sahaja canggih tetapi juga berteraskan nilai ihsan, adab dan maslahah. AI perlu digarap sebagai alat untuk menyantuni rakyat, bukan menindas mereka.
Sejarah juga mengingatkan kita kelemahan perpaduan boleh membawa malapetaka.
Tragedi 13 Mei 1969 adalah contoh nyata betapa rapuhnya keamanan apabila prasangka kaum dibiarkan merebak.
Dalam konteks semasa, perpecahan boleh berlaku bukan lagi di jalanan tetapi di ruang maya melalui ujaran kebencian atau penularan fitnah yang dirancang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Dalam membina Malaysia Madani, AI boleh dimanfaatkan sebagai alat untuk memperkukuh perpaduan. Contohnya, aplikasi pintar boleh digunakan untuk memperkasakan pembelajaran sejarah Malaysia dalam bentuk interaktif yang lebih menarik untuk generasi muda.
Platform digital boleh menjadi jambatan mempertemukan pelbagai komuniti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, sekali gus mengurangkan jurang persepsi.
Bahkan, analisis data besar boleh membantu kerajaan memahami sentimen rakyat secara lebih mendalam dan bertindak awal sebelum sesuatu isu mencetuskan konflik.
Namun, semua usaha ini menuntut kesedaran kolektif. Islam mengingatkan manusia adalah khalifah di muka bumi yang dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan dunia dengan adil.
Dalam Surah al-Hujurat, ayat 13, Allah SWT menegaskan manusia dicipta berbangsa-bangsa serta bersuku-suku untuk saling mengenal dan yang paling mulia ialah mereka yang paling bertakwa.
Ayat ini menjadi asas untuk menolak segala bentuk diskriminasi, sekali gus membentuk pemahaman kepelbagaian kaum di Malaysia adalah amanah yang mesti dijaga.
Maka, Hari Malaysia 2025 bukan sekadar perayaan tetapi medan untuk kita bermuhasabah. Adakah kita benar-benar menghargai pengorbanan pemimpin terdahulu? Adakah kita mengurus kepelbagaian ini dengan adil? Adakah kita bersedia untuk menghadapi cabaran teknologi dengan bijak dan beretika?
Jawapannya bergantung pada sejauh mana kita menghayati prinsip Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan antara pembangunan material dan nilai kerohanian.
Akhirnya, kunci perpaduan negara terletak pada diri setiap rakyat. Jika kita saling menghormati, bersikap ihsan, memanfaatkan teknologi dengan adil dan menjadikan Islam sebagai panduan moral, maka Malaysia akan terus kekal aman, makmur dan disegani.
Pepatah ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’ tidak akan pernah lapuk ditelan zaman.
Semoga sempena Hari Malaysia, kita semua dapat memperbaharui tekad untuk mempertahankan kedaulatan, memajukan negara dengan teknologi serta menjadikan perpaduan sebagai asas Malaysia Madani: Rakyat Disantuni.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Unit Pengajian Islam dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).











