JAKARTA: Langkah kerajaan Indonesia menayangkan video mempromosi dasar utama Presiden Prabowo Subianto di pawagam mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat.
Video berdurasi pendek itu, yang ditayangkan sebelum filem, memaparkan klip Prabowo bersama data mengenai pencapaian utama kerajaan.
Ini termasuk, pengeluaran beras negara yang mencapai 21.76 juta tan sehingga Ogos 2025, pelancaran 100 Sekolah Rakyat tanpa yuran serta operasi 5,800 Unit Perkhidmatan Pemenuhan Nutrisi (SPPG).
Video tersebut turut mengetengahkan Program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG), yang memberi manfaat kepada 20 juta penerima sejak dilancarkan pada 6 Januari lalu.
Segmen lain turut mempromosikan program Koperasi Desa Merah Putih melalui penubuhan 80,000 koperasi luar bandar, yang menawarkan barangan asas, perkhidmatan dan kewangan mikro.
Menteri Setiausaha Kerajaan Indonesia, Prasetyo Hadi mempertahankan langkah itu dengan menegaskan penggunaan media awam untuk menyampaikan mesej kerajaan adalah perkara biasa.
Beliau turut menegaskan amalan itu boleh diterima selagi mematuhi peraturan dan tidak mengganggu keselesaan penonton.
“Penggunaan media awam untuk menyampaikan mesej adalah perkara biasa, asalkan tidak melanggar peraturan atau mengganggu estetika dan kemudahan awam,” katanya.
Kerajaan menjelaskan, kempen di pawagam adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai inisiatif pembangunan negara.- ANTARA










