JAKARTA: Indonesia dijangka mengalami musim hujan dengan tempoh puncak yang lebih panjang berbanding kebiasaan tahun ini, sekali gus meningkatkan risiko banjir dan hujan lebat di banyak kawasan.
Ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Dwikorita Karnawati berkata, musim hujan di Indonesia bermula bulan ini dan dijangka berakhir pada April 2026.
Beliau menjelaskan, puncak musim hujan di Sumatera dan Kalimantan dijangka berlaku pada November hingga Disember tahun ini, manakala di Jawa, Sulawesi, Maluku dan Papua pula pada Januari hingga Februari 2026.
“Kita perlu berwaspada kerana puncak musim hujan kali ini agak panjang dan melibatkan hampir seluruh wilayah di Indonesia,” katanya.
Seorang lagi pegawai BMKG, Guswanto, menegaskan risiko banjir adalah tinggi antara November tahun ini hingga Februari tahun depan.
Agensi itu turut memberi amaran mengenai hujan ekstrem dalam tempoh singkat.
Dwikorita berkata, ada kawasan yang berpotensi menerima jumlah hujan sebulan hanya dalam masa sehari.
Pulau pelancongan Bali sebelum ini mengalami jumlah hujan sebulan dalam masa dua hari, menurut BMKG.
Hujan lebat pada Selasa dan Rabu lalu telah menyebabkan banjir di ibu kota Denpasar serta enam wilayah lain, mengorbankan 18 orang dan memaksa lebih 500 penduduk dipindahkan.
“Kita perlu bersiap sedia terhadap apa yang bakal berlaku ketika puncak musim hujan, melihat kepada apa yang sudah terjadi di Bali walaupun sebelum puncaknya,” kata Dwikorita.
BMKG sebelum ini meramalkan musim kemarau tahun ini lebih pendek daripada biasa berikutan taburan hujan yang lebih tinggi daripada normal.- AGENSI










