Puluhan kanak-kanak Gaza dijangka tiba di UK untuk rawatan

Puluhan kanak-kanak Gaza dijangka tiba di UK untuk rawatan

PENDUDUK Palestin berkumpul di pusat agihan sup kacang dal di Bandar Gaza, utara wilayah, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Puluhan kanak-kanak Palestin yang sakit dan cedera dari Gaza dijangka tiba di United Kingdom (UK) dalam beberapa hari lagi untuk mendapatkan rawatan perubatan, menurut laporan media tempatan.

Mereka merupakan kumpulan pertama yang akan menerima manfaat daripada skim kerajaan UK bagi menyediakan rawatan kesihatan melalui Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Perdana Menteri UK, Keir Starmer pada Julai lalu mengumumkan kanak-kanak terbabit akan dipindahkan dengan segera, namun laporan menyatakan kelewatan berlaku akibat kerenah birokrasi.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), lebih 50,000 kanak-kanak terbunuh atau cedera sejak operasi ketenteraan Israel bermula pada Oktober 2023.

Setiausaha Luar UK, Yvette Cooper memberitahu akhbar Daily Mirror, kumpulan pertama kanak-kanak itu meninggalkan Gaza dan kini dalam perjalanan ke UK.

“Ia melibatkan usaha diplomasi yang besar bagi membolehkan mereka keluar dari Gaza dan melalui beberapa negara lain sebelum tiba di UK.

“Namun usaha ini sedang berjalan dan saya bertekad memastikan kita memainkan peranan untuk membantu keluarga yang tercedera,” katanya.

Menurut BBC, kumpulan tersebut dianggarkan antara 30 hingga 50 kanak-kanak Palestin. Setiap seorang akan ditemani ahli keluarga sekiranya perlu.

Difahamkan, mereka sebelum ini menerima rawatan di sebuah negara Asia Barat sebelum dipindahkan ke Britain.

Walaupun ini kali pertama kerajaan UK menguruskan rawatan kanak-kanak Palestin di negara itu, terdapat sebilangan kecil yang dipindahkan secara persendirian melalui inisiatif Project Pure Hope.

Starmer pada Julai lalu turut menegaskan UK sedang mempercepatkan usaha memindah kanak-kanak dari Gaza yang memerlukan bantuan perubatan kritikal.

Bagaimanapun, pemindahan itu dilaporkan tertangguh selepas kerajaan menetapkan ahli keluarga kanak-kanak mesti memiliki visa dengan data biometrik, lapor The Paper minggu lalu.

Hospital di seluruh UK dilaporkan sudah bersedia menerima mereka, namun sebahagian kanak-kanak dalam keadaan paling kritikal terpaksa dihantar ke negara lain.

Hampir 100 ahli parlimen UK bulan lalu menggesa kerajaan mempercepatkan proses pemindahan.

Ahli Parlimen Parti Buruh, Dr. Simon Opher, menyifatkan kelewatan tersebut sebagai tidak boleh diterima dan menuntut syarat visa biometrik itu dihapuskan serta-merta.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×