KUALA TERENGGANU: Isu calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PN.
Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, walaupun Bersatu mencadangkan Presidennya sebagai ‘poster boy’ manakala Pas pula menamakan Timbalan Presiden parti tu sebagai calon Perdana Menteri, ia hanya cadangan awal yang perlu diperhalusi secara bersama.
“Itu hak masing-masing untuk mencalonkan tetapi akhirnya Majlis Presiden PN yang buat keputusan. Bila sudah diputuskan di situ, semua pihak mesti akur dan menyokong,” katanya selepas majlis penutup Karnival Pantai Terengganu di Kuala Nerus, malam tadi.
Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu berkata, dalam politik adalah lumrah setiap parti mempunyai strategi sendiri, namun ia tidak boleh mengatasi persetujuan bersama dalam gabungan.
Berhubung kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa sudah tiba masanya parti itu menerajui PN kerana mempunyai majoriti kerusi berbanding rakan gabungan lain, beliau berkata, ia adalah pandangan Menteri Besar Terengganu itu tetapi keputusan akhir tetap di tangan Majlis Presiden.
“Jadi tidak perlulah kita kalut atau kecoh, biarlah peringkat tertinggi tentukan,” ujarnya. – UTUSAN










