KUALA PILAH: Penduduk di Kampung Bemban di sini bimbang dengan kehadiran harimau kumbang di kampung itu selepas menemui kesan tapak kaki haiwan itu dan cakaran pada pokok.
Seorang penduduk, Ahmad Norfaes Kama Luddin, 37, berkata, rakannya yang menjumpai kesan tapak kaki haiwan berkenaan di dusunnya.
“Rakan saya memberitahu bahawa dia menjumpai kesan tapak kaki haiwan tersebut di dusun duriannya yang berhampiran dengan rumah saya semalam.
“Dia memberitahu saya sebagai langkah berjaga-jaga kerana saya mempunyai lembu ternakan,” katanya ketika ditemui di Kampung Bemban, di sini.
Tambah Ahmad Norfaes, kesan tapak kaki harimau kumbang itu masih baharu kerana kelihatan jelas dan belum terkena hujan.
“Ada tapak besar dan ada kecil, mungkin ibu dengan anaknya. Kami juga nampak kesan cakaran dipercayai milik harimau kumbang pada pokok petai berhampiran dusun,” katanya.
Ahmad Norfaes berkata, faktor kawasan hutan yang terletak berhampiran memudahkan haiwan liar tersebut untuk masuk kawasan penduduk.
“Hutan memang dekat sebab itu kami tidak pelik jika haiwan itu boleh sampai sini. Cuma kami risau keselamatan orang kampung yang mempunyai haiwan ternakan,” katanya.
Katanya, ia merupakan penemuan kali pertama tapak kaki harimau kumbang di kampung itu.
“Saya ada dengar dua minggu lepas, ada kambing ternakan penduduk Kampung Sungai Dua Besar dibaham harimau kumbang. Jadi kemungkinan harimau yang sama sedang berkeliaran,” katanya.
Sehubungan itu, dia berharap pihak berkuasa berkaitan segera melakukan pemantauan dan langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.-UTUSAN.










