MELAKA: Persepsi masyarakat yang tidak memahami erti kesenian sebuah replika kereta mini pasti menganggapnya sebagai permainan yang tidak bernilai dan membazirkan wang.
Bagi pengumpul tegar yang juga pemilik Akids Diecast Store, Mahathir Mahat, 46, model kereta itu sebenarnya mempunyai nilai yang sangat tinggi di pasaran sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.
Katanya, nilai ditentukan oleh skala, jenama dan jumlah unit yang dikeluarkan untuk pasaran seluruh dunia.
“Jika model yang dikeluarkan itu terhad maka harganya akan melonjak kerana pengumpul sentiasa berebut untuk memilikinya. Pembeli pertama sangat bertuah kerana nilai jualan semula akan meningkat berkali ganda pada masa depan.
“Sebenarnya pengumpul tegar membeli seni yang ada pada sesebuah model seperti perincian mengikut model sebenar, kualiti cat dan binaan. Hobi ini perlukan ilmu dan pengetahuan supaya setiap ringgit yang dibelanjakan mampu menjana pulangan lumayan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedainya di Bukit Katil di sini.
Mahathir berkata, dia menghabiskan ribuan ringgit sejak terjebak dengan hobi berkenaan pada 2007 selepas secara tidak sengaja membeli model Mitsubishi Lancer Evo 8 skala 1:32 yang berharga RM50.
Menurutnya, selepas itu dia sentiasa menambah koleksi baharu sebelum membuat keputusan membuka kedai menjual model diecast pada 2016.
“Beberapa tahun lepas saya ada membeli koleksi berharga RM100 lebih sebuah dan nilainya kini telah mencecah sehingga RM5,000 sebuah. Paling mahal saya pernah jual berharga RM7,000 sebuah.
“Selain itu, ada pengumpul dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), India dan Australia membuat tempahan secara dalam talian. Mereka sanggup membayar caj penghantaran yang tinggi asalkan dapat memiliki model idaman,” katanya. – UTUSAN.










