MALAYSIA Techlympics 2025 Peringkat Zon Sarawak telah berlangsung di CIDB Convention Centre Sarawak, Kuching dan menghimpunkan lebih 1,300 peserta dan 80 sekolah dari seluruh negeri Sarawak, sekali gus menzahirkan penyertaan yang membanggakan dalam usaha memperkasa budaya Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan generasi muda.
Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini telah memasuki tahun keempat penganjuran sejak 2022, dengan purata penyertaan tahunan mencecah hampir 1.4 juta.
Malaysia Techlympics merupakan platform strategik MOSTI untuk membudayakan STI melalui kaedah pembelajaran berasaskan pertandingan interaktif.
Pelaksanaan Malaysia Techlympics adalah selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 dengan memberi tumpuan kepada kemahiran masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), pengekodan, teknologi dron, pengkomputeran awan dan bidang digital lain yang berimpak tinggi.
MOSTI yakin pendedahan awal ini mampu melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030. Sehingga kini, lebih 2,500 pelajar dan 89 guru dari negeri Sarawak telah menerima manfaat melalui program jangkauan keterangkuman (Outreach), termasuk latihan Training of Trainers (ToT) secara fizikal dan dalam talian.
Malaysia Techlympics akan terus diperluas sebagai wadah penting bagi memperkukuh minat generasi muda terhadap STI, di samping menyemai kreativiti dan inovasi yang bakal menjadi pemacu pembangunan negara. – UTUSAN
KEMENTERIAN SAINS,
TEKNOLOGI DAN INOVASI










