Ahli Parlimen DAP cabar Pas buat kelas Mandarin, Tamil di Pasti

Ahli Parlimen DAP cabar Pas buat kelas Mandarin, Tamil di Pasti

LIM LIP ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mencabar Pas supaya melaksanakan pembelajaran bahasa Mandarin dan Tamil di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) bagi membuktikan keikhlasan cadangan memperkenalkan kedua-dua bahasa itu di sekolah kebangsaan.

Lip Eng berkata, pemimpin Pas tidak seharusnya sekadar berucap di pentas tanpa menunjukkan kesungguhan melaksanakan cadangan yang dikemukakan.

“Jika benar (Tuan Ibrahim) ikhlas cadangan bahasa Tamil dan Mandarin dijadikan subjek di sekolah kebangsaan, maka wajar terlebih dahulu buktikan kesungguhan dengan melaksanakan perkara sama di Pasti, prasekolah milik Pas sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bahasa Mandarin dan Tamil sudah lama ditawarkan sebagai subjek tambahan di sekolah kebangsaan.

“Cadangan ini jelas membuktikan beliau tidak memahami sistem pendidikan sedia ada, atau lebih buruk, sengaja mahu memainkan sentimen perkauman dengan menimbulkan isu yang tidak wujud,” katanya dalam kenyataan.

Lip Eng turut mempersoalkan sama ada cadangan itu adalah pandangan peribadi Tuan Ibrahim atau pendirian rasmi PAS sendiri.

“Jika ini hanya retorik peribadi, janganlah mempergunakan isu pendidikan untuk meraih perhatian. Jika ini benar-benar dasar baru PAS, sila nyatakan dengan jelas dan buktikan pelaksanaan segera di Pasti.

“Jangan isu pendidikan anak-anak kita dijadikan bahan politik murahan,” katanya.

Semalam, ketika berucap merasmikan kongres sayap penyokong Pas di Sungai Petani, Kedah, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan supaya subjek bahasa Mandarin dan Tamil diperkenalkan kepada semua pelajar di sekolah kebangsaan bagi memupuk perpaduan.

Beliau berkata, halangan bahasa sering kali menimbulkan syak wasangka antara masyarakat, namun mempelajari bahasa masing-masing mampu memupuk persefahaman lebih baik.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini