Pemikiran Lip Eng bertaraf ‘kampung’ - Tuan Ibrahim

Pemikiran Lip Eng bertaraf ‘kampung’ – Tuan Ibrahim

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA: Pas menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang mencabar Pas melaksanakan pembelajaran bahasa Mandarin dan Tamil di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sebagai pemikiran tahap kampung.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan yang diutarakan beliau sebelum ini melibatkan dasar kebangsaan yang lebih meluas bagi memupuk semangat perpaduan dan tidak cukup sekiranya dibuat di satu kelompok institusi sahaja.

“Tujuannya nak mengurangkan sensitiviti antara kaum, cadangan saya bukan mandatori untuk dilaksanakan tapi satu alternatif kepada sekolah-sekolah. Kalau kita boleh ajar bahasa Cina, India di sekolah kebangsaan sekurang-kurangnya kalau pelajar berminat mereka boleh ambil. 

“Soal dia (Lip Eng) nak cadangkan, kemukakan kepada Pasti tak membawa makna apa-apa kerana kita hendak dasar pendidikan kebangsaan, bukan hanya satu unit, (cabaran dia) ini pemikiran kampung lah,” katanya ketika ditemui pada Forum Ummah Muslim Antarabangsa (Munif) hari ini.

Terdahulu, Lip Eng melontarkan cabaran itu kepada Pas bagi membuktikan keikhlasan cadangan Tuan Ibrahim memperkenalkan kedua-dua bahasa itu di sekolah kebangsaan.

Katanya, pemimpin Pas tidak seharusnya sekadar berucap di pentas tanpa menunjukkan kesungguhan melaksanakan cadangan yang dikemukakan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, cadangan itu antara lain bagi mengurangkan prasangka buruk sesama kaum yang kadang-kala timbul disebabkan perbezaan bahasa.

Dalam pada itu, forum Munif disertai seramai 120 peserta daripada sembilan buah negara bertujuan memperkukuhkan sinergi kerja dan kolaborasi strategik antara pertubuhan Islam antarabangsa dalam usaha menyelamatkan Gaza daripada kezaliman penjajahan Zionis.

Forum itu akan membentangkan kertas-kertas kerja, resolusi bersama serta pelan tindakan strategik dalam aspek kemanusiaan agar bantuan segera dan bersepadu dihantar ke Gaza serta pendekatan politik antarabangsa yang lebih tersusun di bawah aspek diplomasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN