Penduduk Kampung Sungai Baru persoal jaminan hak milik

Penduduk Kampung Sungai Baru persoal jaminan hak milik

kampung sungai baru
Penduduk Kampung Sungai Baru bimbang jaminan kerajaan untuk terus menempatkan mereka semula selepas kawasan itu dibangunkan tidak dapat dilaksanakan.– MINGGUAN/SHIDDIEQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Macam mana jamin hartanah pemilikan Me­layu sedangkan isu tanah Kampung Sungai Baru tidak dapat pertahankan?”

Itu luahan Presiden Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Muzaffar Razman yang mempersoalkan jaminan kerajaan sedangkan tiada mana-mana pihak tampil membantu menyelesaikan isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru yang berlaku sejak sekian lama.

Menurutnya, pihak kerajaan sepatutnya mendengar keluhan segelintir penduduk yang enggan mengosongkan kediaman kerana masih ada kes rayuan di mahkamah pada 3 Oktober ini.

“Bagaimana kerajaan mahu jamin hartanah daripada pembangunan semula akan kekal milik orang Melayu sedangkan isu tanah di kampung ini pun tiada siapa pertahankan kami?

“Sepatutnya mereka bantu kami namun kini semua pihak lepas tangan? Malah, insiden yang berlaku pada 11 September lalu tidak sepatutnya berlaku sekiranya pihak pemaju serta pendaftar mahkamah memberi budi bicara menunggu keputusan rayuan pada 3 Oktober ini selain permohonan penangguhan yang dibuat penduduk sebelum ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Media semalam melaporkan pembangunan semula Kampung Sungai Baru kelak dijamin akan mengekalkan pemilikan orang Melayu dengan nilai hartanah yang mampu dimiliki kaum itu berdasarkan hak rizab tanah Melayu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, berdasarkan garis panduan tersebut ia sudah cukup jelas dalam memastikan pemilikan adalah berpaksikan kepada kepentingan kaum Me­layu mengikut kategori dan bentuk pembangunan yang dijalankan.

Muzaffar juga mempersoalkan tindakan pemaju yang merobohkan kediaman-kediaman terbabit kerana seolah-olah melanggar perintah mahkamah sedangkan pihak terbabit hanya mendapat arahan bagi melakukan pengosongan.

“Pemaju mendapat perintah untuk memecahkan pintu dan tingkap bagi mengosongkan kediaman selain perintah kedua untuk mengunci kembali rumah terbabit. Tetapi sekarang mengapa mereka telah merobohkan rumah kami sedangkan ada kes rayuan di mahkamah bakal berlangsung.

“Lihatlah barang kami di­letakkan di luar dan berlaku kes-kes kecurian. Perkara ini dapat dielakkan sekiranya mereka menggunakan budi bicara bagi menangguhkan operasi pengosongan tersebut,” katanya.

Penasihat undang-undang Ja­watankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, N.Surendren berkata, hartanah di Kampung Sungai Baru bukanlah dirampas oleh mahkamah sebaliknya ia dilakukan oleh kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 pada tahun 2021

“Mahkamah tidak mempunyai pilihan sehingga menyebelahi pihak pemaju. Tindakan ini menyebabkan tanah penduduk yang tidak bersetuju dengan tawaran pemaju diambil, sekaligus mencetuskan kontroversi nasional mengenai pengusiran penduduk yang sedang berlaku.

“Pengambilan paksa ini me­rupakan tindakan drastik oleh kerajaan yang menggunakan kuasa luar biasa untuk mengambil rumah dan tanah penduduk secara paksa dan menyerahkannya kepada pemaju. Walaupun pampasan telah diberikan (walau dipertikai), ia tidak meng­ubah hakikat bahawa rumah dan tanah telah diperoleh tanpa kerelaan pemilik,” katanya.

Peguam terbabit turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak membenarkan penduduk untuk berunding sendiri dengan pemaju dan mencapai persetujuan yang adil tanpa sebarang pengambilan secara paksa.

“Ia mungkin mengambil masa yang lebih lama, tetapi ia merupakan satu proses yang adil dan berdasarkan persetujuan semua pihak terlibat. Kami menggesa Dr Zaliha, Perdana Menteri dan Kerajaan Madani supaya tidak ‘lepas tangan’ dalam perkara ini dan menyerahkannya kepada pemaju dan pihak penguat kuasa.

“Itu adalah satu tindakan yang amat tidak adil kerana pengambilan paksa dilakukan oleh kerajaan; maka kerajaan tidak boleh ‘cuci tangan.’ Kami mendesak agar kerajaan segera campur tangan untuk menghentikan pengusiran yang sedang berlangsung dan menyelesaikan pertikaian ini secara adil dan saksama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×