MUHAMMAD SAW ialah Rasul yang diutuskan kepada seluruh alam. Ketokohan Baginda mengajak kaum jahil pada suatu ketika dahulu mentauhidkan Allah SWT adalah perkara yang wajib diyakini seluruh umat Islam.
Sejarah merakamkan bagaimana Rasulullah SAW berdepan pelbagai tohmahan, disakiti, diperangi malah cuba disisihkan ketika menyampaikan risalah Islam kepada kaum yang begitu kuat berpegang pada ajaran syirik di zaman jahiliah.
Pendakwah, Ustaz Zakaria Mohamad yang berkongsi pandangan berkait sambutan maulidur Rasul dan sirah perjuangan Rasulullah SAW berkata, ketinggian sifat sabar dan kasihnya kepada umat,
Rasulullah SAW tetap mempertahankan ajaran Islam sehingga agama syumul ini tersebar luas ke seluruh dunia.
Menurutnya, kehadiran bulan Rabiulawal menyaksikan umat Islam seluruh dunia mengangkat ingatan besar, memperingati peristiwa kelahiran junjungan Nabi SAW.
USTAZ ZAKARIA MOHAMAD
Usia: 51 tahun
Asal: Kampung Gong Tengah, Pasir Puteh, Kelantan
Sejarah pendidikan:
• Sekolah Menengah Ugama Arab Azhariah(SMU (A) Azhariah Melor (1986-1992)
• Pondok Haji Daud Bin Soleh Abbas, Mahligai,Melor
• Pondok Baba Haji Abdullah Bin Syeikh Idris Bendang Badang (1993-1994 )
• Pusat pengajian Pondok Moden Bachok, Kelantan (1995-1998)
• Universiti Al-Azhar
(Pengajian Usuluddin Jurusan Tafsir Dan Ulumul Quran – 1998-2004)
Tugas Hakiki: Guru Pendidikan Islam di SK Sering, Kota Bharu.
“Kecintaan terhadap Baginda perlu disusulkan dengan memperbanyakkan selawat.Bersandarkan kepada sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali”.
“Selawat bukan sekadar lafaz tetapi doa yang menghubungkan hati umat Islam dengan Baginda SAW,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Muhammadiah Mukim Gong Manak, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.
Zakaria berkata, cinta itu menjadi ukuran iman, meletakkan Baginda lebih tinggi daripada keluarga, sahabat, bahkan diri sendiri.
Katanya, firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat ke enam yang bermaksud: “Nabi itu lebih utama bagi orang beriman daripada diri mereka sendiri.”
“Amanah besar yang mesti dijaga adalah peninggalan sunnah dan hadis sahih baginda, lebih-lebih lagi dalam suasana penyebaran hadis palsu yang semakin berleluasa.
“Amaran Rasulullah SAW jelas: “Sesiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya di neraka.”
Dalam menyerlahkan kecintaan, katanya, membaca sirah kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW adalah perlu sama ada secara individu mahu pun berjemaah mendengar kuliah dalam majlis ilmu.
“Sejarah hidup Rasulullah SAW bukan sekadar catatan, tetapi pedoman, seperti yang digarapkan Dr. Yusuf al-Qaradawi bahawa siapa yang ingin mengenal akhlak Rasulullah SAW, maka bacalah mushaf dan sirah kerana di dalamnya terhimpun sifat-sifat orang Muslim yang Baginda tunjukkan,” katanya.
Tegas Zakaria, berpegang kepada sunnah Rasulullah SAW akan mengukuhkan lagi kecintaan terhadap Baginda dan ia bertepatan dengan sabda yang ditinggalkan.
Zakaria berkata, sunnah adalah cahaya petunjuk, benteng umat daripada hanyut dibawa hawa nafsu dan perkara baharu tanpa sandaran yang benar.
Firman Allah SWT lagi: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat serta banyak mengingati Allah.” (Surah al-Ahzab: 21)
“Justeru, mencintai Rasulullah SAW bukan sekadar kata-kata atau perayaan tahunan tetapi dibuktikan dengan penghayatan sunnah, menjaga amanah ilmu, memperbanyakkan selawat dan meneladani akhlaknya.
“Inilah jalan kita sebagai umat Baginda untuk membuktikan cinta kepada Rasul junjungan, demi memurnikan semula ajaran Islam yang diwariskan kepada kita,” katanya.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, usaha masyarakat di Kampung Gong Manak menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul dengan penuh kesyukuran, perarakan selawat, tazkirah, ceramah sirah, kuiz keagamaan dan jamuan telah berjaya mengumpulkan masyarakat pelbagai lapisan usia berukhuwah di masjid adalah langkah bertepatan.
Katanya, ia membuktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW boleh dipupuk melalui kesatuan hati dan amal jama‘i menyerlahkan sambutan bukan sekadar adat, tetapi wadah untuk menyuburkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. – UTUSAN











