BALIK PULAU: Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang mengemukakan permohonan agar parti itu diberi peluang menambah kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) sejajar dengan prestasi dan peranan yang dimainkan parti itu sejak penubuhannya hampir sedekad lalu.
Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil berkata, Amanah kini semakin kukuh selepas 10 tahun penubuhannya sekali gus membuktikan tahap kematangan organisasi di negeri ini.
“Ada usul untuk menambah kerusi Amanah (dalam PRU-16). Amanah ini ibarat adik bongsu dalam keluarga besar politik. Biasanya, adik bongsu mempunyai abang-abang yang lebih besar, maka proses timbang tara dan rundingan ini menjadi seperti perbincangan antara adik-beradik.
“Dalam konteks ini, Amanah bersama PKR, DAP dan UMNO akan terus kekal sebagai satu pasukan yang kuat, saling melengkapi dalam perjuangan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Amanah Pulau Pinang di sini, hari ini.
Untuk rekod, pada PRU-15 yang lalu, Amanah Pulau Pinang bertanding lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen. Daripada jumlah itu, parti tersebut hanya memenangi satu kerusi DUN iaitu di Bayan Lepas.
Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, rekod pentadbiran negeri Pulau Pinang di bawah Kerajaan Perpaduan telah mencatat pencapaian terbaik, namun beliau mengakui prestasi parti akan diukur melalui keputusan pilihan raya khususnya di kawasan majoriti Melayu.
“Kita kalah banyak kerusi majoriti Melayu kerana kelemahan dalam menangani pemikiran ekstremis. Justeru, pimpinan negeri termasuk di akar umbi mesti membawa agenda pembaharuan supaya rakyat tidak terperangkap dengan retorik kaum dan agama.
“Dalam hal ini, kita mahu anak muda Melayu Islam dididik dengan pemikiran wasatiyyah untuk membina negeri yang makmur serta menolak fahaman takfiri yang boleh mengancam keselamatan negara.
“Selain itu, kita juga mesti kuasai medium seperti TikTok agar naratif fakta tidak diputar belit pihak lawan,” katanya yang memaklumkan bahawa Amanah juga telah menubuhkan skuad khas bagi memperkukuh komunikasi di lapangan serta di media sosial, terutamanya dalam kalangan orang muda.
Tambah beliau, pada masa yang sama, Amanah juga menolak penggunaan isu perkauman dan agama semata-mata untuk meraih sokongan politik.
“Bagi kita, perjuangan menegakkan Islam bukan pada nama semata-mata, tetapi, pada dasar dan agenda yang signifikan,” katanya yang memberitahu, permintaan untuk menambah kerusi itu bukan bermaksud untuk mengetepikan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, sebaliknya, merupakan sebahagian daripada rundingan berasaskan semangat kekeluargaan antara parti yang terlibat.










