KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah menyambut baik persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menambah jumlah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
Pengerusi MPN PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, keputusan itu hadir tepat pada masanya bersempena sambutan Hari Malaysia Ke-62 dan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh semangat yang mendasari pembentukan Persekutuan Malaysia.
“Penambahan kerusi ini bukan sekadar memperbetulkan keseimbangan representasi di Dewan Rakyat, malah ia akan menjadi pemangkin untuk mempercepatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak melalui dasar yang lebih fokus dan berkesan,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Beliau berkata, persetujuan Perdana Menteri itu juga adalah kesinambungan daripada perbincangan dalam Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Sarawak baru-baru ini, yang membincangkan pelbagai isu berkaitan hak dan kedudukan Sabah serta Sarawak.
Menurutnya, langkah itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar untuk melaksanakan butiran MA63 secara menyeluruh.
“Dengan suara yang lebih kukuh di Parlimen, rakyat Sabah dan Sarawak diyakini akan merasai bahawa hak mereka dihormati dan diperjuangkan. Keputusan ini membawa mesej jelas Sabah dan Sarawak adalah rakan strategik dalam pembinaan masa depan negara, selaras dengan semangat MA63,” katanya.
Mustapha menegaskan, PKR Sabah komited mendukung agenda reformasi Kerajaan Perpaduan demi memastikan kedua-dua negeri memperoleh manfaat sepenuhnya daripada pelaksanaan MA63 serta penambahan kerusi Parlimen yang bakal direalisasikan.
Mengulas kawasan berpotensi untuk dijadikan kerusi baharu di Sabah, Mustapha berkata, ia masih dalam kajian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Namun, dari segi bilangan pengundi, antara yang perlu dipertimbangkan ialah Parlimen Sepanggar, yang kini mencatat jumlah pengundi paling ramai di Sabah,” katanya.










