PETALING JAYA: Masa depan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dijangka akan diserahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas selesai kongres pemilihan presiden tahun hadapan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan, kerajaan tidak berhasrat melengahkan proses penyerahan dua program pembangunan utama bola sepak negara itu, namun kestabilan dalam badan induk berkenaan perlu menjadi keutamaan sebelum langkah seterusnya diambil.
“Saya memang mahu menyerahkan tanggungjawab ini kerana kita sudah ada penilaian daripada AFC dan perbincangan awal juga telah bermula.
“Tetapi saya mahu FAM menyelesaikan isu berkaitan presidennya terlebih dahulu. Setelah semuanya dipersetujui dan bersedia, barulah kita boleh berbincang tentang proses penyerahan.
“Ini penting kerana saya bukan enggan menyerahkan, tetapi mahu semua pihak benar-benar bersedia,” katanya.
FAM sebelum ini menyatakan kesediaan mengambil alih pengurusan NFDP dan AMD dengan syarat mandat jelas diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN).
Namun begitu, langkah itu sedikit terganggu selepas presidennya, Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub, mengejutkan ramai pihak apabila melepaskan jawatan hanya enam bulan selepas dilantik, Ogos lalu.
Kini, tampuk kepimpinan sementara FAM digalas oleh Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, sehingga pemilihan baharu diadakan bagi menentukan hala tuju organisasi itu.
Lebih daripada sekadar soal pentadbiran, NFDP dan AMD adalah nadi pembangunan bola sepak akar umbi yang melahirkan generasi pemain baharu.
Kelewatan dalam proses penyerahan hanya akan menjejaskan kesinambungan program yang telah dirintis hampir sedekad lalu.
Justeru, masa depan bola sepak negara bergantung bukan sahaja kepada keputusan FAM, tetapi juga keberanian kepemimpinannya untuk memastikan organisasi itu benar-benar stabil sebelum memikul amanah yang lebih besar. – UTUSAN










