Hanya segelintir terkesan tarif baharu air di Terengganu

Hanya segelintir terkesan tarif baharu air di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pelaksa­naan tarif baharu air di negeri ini tidak memberi kesan besar kepada majoriti pengguna domestik sebaliknya hanya sebilangan kecil pengguna yang menggunakan air melebihi 50 meter padu (m3) sebulan berdepan kenaikan ke­tara dalam bil bulanan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Abdul Karim Endut berkata, tidak benar berlaku kenaikan sekali ganda sebagaimana ditularkan kerana purata penggunaan isi rumah di Terengganu adalah sekitar 27.5 hingga 30m3 sebulan bagi keluarga empat orang.

“Dengan corak penggunaan itu, kesan kenaikan tarif adalah sangat minimum,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, bagi penggunaan bawah 20m3, caj di Terengganu hanya RM0.66 semeter padu sedangkan ada negeri mengenakan sehingga RM1.05.

Begitu juga bagi blok 20 hingga 35m3, Terengganu hanya mengenakan caj RM1.69 semeter padu berbanding Johor RM2.35 yang paling tinggi manakala bagi penggunaan melebihi 35m3, Terengganu hanya mengenakan RM2.25 semeter padu berbanding RM3.50 di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Dengan kaedah blok sebegini, jumlah caj sebenar adalah lebih rendah daripada persepsi ‘sekali ganda’ yang ditularkan,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa 75 peratus rumah di Terengganu akan mengalami kenaikan purata bil bulanan sebanyak RM37 sebagaimana tular dalam media sosial.

Katanya lagi, pelarasan tarif telah melalui semakan rapi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berdasarkan kos operasi, kewangan serta penambahbaikan berperingkat.

“Proses semakan dibuat secara teliti di bawah Tarif Setting Mechanism (TSM) bagi memastikan kelestarian bekalan air ne­geri tanpa membebankan pengguna,” jelasnya.

SATU ketika ini mempunyai sebanyak 293,519 akaun pengguna domestik di seluruh ne­geri.

Sementara itu, rata-rata pengguna di Terengganu mengeluh apabila bil air mereka bulan lalu meningkat hampir sekali ganda berbanding bulan sebelumnya walaupun penggunaan tidak jauh berbeza.

Seorang penduduk di Bukit Tunggal, Kuala Nerus Shahariman Manaf, 52, berkata, bil air yang diterimanya kali ini mengejutkan kerana tidak pernah se­tinggi itu.

“Naik mendadak, memang agak terkejut bila buka bil. Sebelum ini tidak pernah sampai macam ini,” katanya.

Seorang penduduk Kampung Pak Katak, Kamas Mat Zin, 73, pula berkata, sebelum ini dia hanya membayar sekitar RM50 hingga RM60 sebulan tetapi bil terkini melebihi RM100.

“Penggunaan sama sahaja, tiada beza tetapi bil naik lebih sekali ganda, memang pelik. Agak terkesan juga dengan bil sekarang ini,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×