Banjir: Pembangunan pesat di Bali abaikan risiko bencana

Banjir: Pembangunan pesat di Bali abaikan risiko bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALI: Banjir besar yang melanda pulau peranginan Bali sejak awal minggu ini meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa, manakala dua lagi mangsa masih hilang.

Kebanyakan mangsa dilaporkan dihanyut arus deras selepas beberapa sungai melimpah akibat hujan lebat berterusan pada Selasan dan Rabu lalu.

Banjir turut menenggelamkan enam daripada lapan wilayah di Bali, termasuk ibu kota Denpasar, selain menutup laluan utama dan mengganggu akses ke lapangan terbang antarabangsa.

Beberapa kawasan turut dilanda tanah runtuh, sekali gus menyukarkan operasi menyelamat.

Pakar seni bina dan perancangan Universiti Warmadewa, Dr I Nyoman Gede Maha Putra berkata, pembangunan pesat di pulau itu tidak disokong sistem aliran mencukupi, sekali gus memperburuk kesan banjir kilat.

“Perancangan bandar tidak mengambil kira bencana. Semua pembinaan infrastruktur hanya ditumpukan untuk menjadikan Bali lebih menarik kepada pelancong dan pelabur,” katanya.

Namun, Gabenor Bali, I Wayan Koster yang dipetik media tempatan berkata, penukaran guna tanah bukanlah punca banjir besar yang melanda Denpasar minggu ini.

Pelancongan merupakan sumber pendapatan utama Bali dan pada 2024, terdapat lebih 6.3 juta ketibaan pelancong antarabangsa di pulau itu, menurut data dari Biro Statistik negara, melebihi jumlah 2019 sebelum pandemik Covid-19 menjejaskan sektor tersebut.

Bali menyumbang lebih 40 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong keseluruhan Indonesia pada 2024.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×