Naib Presiden Sudan Selatan didakwa lakukan jenayah terhadap kemanusiaan

Naib Presiden Sudan Selatan didakwa lakukan jenayah terhadap kemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUBA: Naib Presiden Sudan Selatan, Riek Machar didakwa dengan tuduhan pembunuhan, pengkhianatan serta jenayah terhadap kemanusiaan berhubung serangan oleh militia etnik ke atas sebuah pangkalan tentera yang mengorbankan lebih 250 anggota, menurut Menteri Kehakiman negara itu.

Perjanjian perkongsian kuasa yang rapuh antara Presiden, Salva Kiir dan Machar yang juga naib Presiden pertama telah lama bergolak di negara termuda dunia itu.

Pada awal Mac, militia dari komuniti Nuer yang bersekutu dengan Machar, dikenali sebagai White Army menyerang pangkalan tentera di Daerah Nasir, Negeri Upper Nile di timur laut Sudan Selatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kerajaan menuduh Machar bertanggungjawab atas serangan tersebut dan kini mendakwanya bersama 20 individu lain dengan kesalahan pembunuhan, konspirasi, keganasan, pengkhianatan, pemusnahan harta awam serta jenayah terhadap kemanusiaan.

“Jenayah ini melibatkan pelanggaran serius terhadap Konvensyen Geneva dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk pencemaran mayat, penganiayaan orang awam serta serangan terhadap pekerja kemanusiaan.

“Kes ini memberi mesej jelas, sesiapa yang melakukan kekejaman terhadap rakyat Sudan Selatan, angkatan tentera kita, atau kakitangan kemanusiaan akan dibawa ke muka pengadilan, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh politik,” kata Menteri Kehakiman, Joseph Geng Akech, dalam kenyataan kepada media di Juba.

Susulan itu, Presiden Kiir mengeluarkan dekri Presiden yang menyingkirkan Machar daripada jawatan kerajaan, bersama seorang lagi tertuduh, Menteri Petroleum, Puot Kang Choi, menurut pengumuman televisyen negara.

Pangkalan tentera di Nasir itu dikuasai oleh White Army antara 3 hingga 7 Mac, mengakibatkan beberapa pegawai kanan tentera termasuk seorang jeneral terbunuh.

Sebuah helikopter Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut ditembak ketika cuba menyelamatkan askar di lokasi, menyebabkan kematian seorang juruterbang.

Difahamkan, Kiir sejak beberapa bulan lalu telah mengambil langkah untuk mengukuhkan kuasa sambil mengenepikan Machar, yang kini diletakkan di bawah tahanan rumah beberapa minggu selepas serangan tersebut. Ramai sekutu rapatnya turut ditahan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN