RUU PSB : Pembangunan atau peminggiran komuniti?

RUU PSB : Pembangunan atau peminggiran komuniti?

RAZAK Mansion menunjukkan pembangunan semula berjaya dari sudut fizikal tetapi menjejaskan hubungan kejiranan serta membebankan keluarga berpendapatan rendah dengan kos penyelenggaraan tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) diperkenalkan dengan niat untuk memodenkan kawasan bandar lama, selaras dengan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat serta menyediakan infrastruktur moden.

Namun, pembangunan tidak boleh mengorbankan hak komuniti asal, memberi kuasa berlebihan kepada pemaju atau menafikan keadilan sosial.

Antara kebimbangan utama ialah penurunan ambang persetujuan pemilik kepada 80 peratus yang boleh menjejaskan hak minoriti, dominasi pemaju dalam rundingan, risiko gentrifikasi, kehilangan identiti komuniti serta defisit ketelusan. Pemilik tanah bukan sahaja memiliki aset ekonomi, tetapi juga warisan keluarga dan budaya yang tidak wajar dipinggirkan.

Dominasi pemaju sering menimbulkan projek yang lebih berorientasikan keuntungan berbanding kesejahteraan rakyat. Akibatnya, kos sara hidup meningkat, penduduk asal terpinggir dan jaringan sosial terputus.

Fenomena gentrifikasi membuktikan bahawa kemodenan tidak semestinya menjamin kesejahteraan masyarakat. Contoh seperti Razak Mansion menunjukkan pembangunan semula berjaya dari sudut fizikal tetapi menjejaskan hubungan kejiranan serta membebankan keluarga berpendapatan rendah dengan kos penyelenggaraan tinggi.

Justeru, RUU PSB perlu ditangguhkan sehingga kajian impak sosial dan perundangan dijalankan oleh jawatankuasa bebas. Rundingan komuniti telus perlu diwujudkan dengan suara penduduk diberi nilai undang-undang.

Selain itu, peranan agensi kerajaan seperti UDA Holdings Berhad (UDA) wajar diperkukuh, dasar perlindungan komuniti dilaksanakan melalui konsep one-to-one replacement, pampasan setara dengan nilai pasaran dan sentimental serta penempatan semula yang mengutamakan penduduk asal.

Pemulihan bangunan lama juga perlu dilakukan melalui insentif cukai dan pembiayaan mudah, di samping jaminan kewangan jelas kepada pemilik. Prinsip keadilan sosial perlu menjadi tunjang agar pembangunan tidak menjadi instrumen pengasingan kelas.

Kejayaan sebenar bukan sekadar bangunan pencakar langit, tetapi kesejahteraan rakyat yang merasa dihormati, dilindungi dan diberdayakan. Malaysia hanya mencapai kemajuan hakiki apabila pembangunan fizikal seiring dengan pembangunan insan. – UTUSAN

PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×