Pas sifatkan isu Kampung Sungai Baru gambaran awal RUU PSB

Pas sifatkan isu Kampung Sungai Baru gambaran awal RUU PSB

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Pas mengaitkan isu pengosongan di Kampung Sungai Baru sebagai gambaran awal kepada apa yang berlaku jika Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) dilaksanakan.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tanpa budi bicara, pemaju diberi kuasa penuh dan rakyat berisiko dihalau dari kediaman mereka sendiri.

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama bangkit membela penduduk Kampung Sungai Baru dan terus membantah RUU PSB yang akan dibawa semula ke Parlimen pada bulan Oktober 2025,” katanya.

Berhubung pengosongan yang dilakukan di Kampung Sungai Baru hari ini, Ahmad Fadhli berkata, mereka memahami pgosongan terhadap 179 penduduk itu berdasarkan perintah mahkamah _ex parte  yang memberi kebenaran memasuki kawasan termasuk membuka mangga pintu, tingkap, dinding dan bumbung rumah bagi tujuan pengambilalihan.

“Pas menghormati keputusan tersebut. Namun, tindakan pemaju yang meneruskan pengosongan secara tergesa-gesa sedangkan rayuan penduduk dijadualkan untuk dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober 2025 amat tidak berperikemanusiaan.

“Sepatutnya, pemaju menunjukkan budi bicara dengan menunggu proses rayuan selesai. Menghalau penduduk seolah-olah mereka penceroboh di tanah sendiri adalah suatu tindakan yang zalim,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila perintah Order 89 secara jelas tidak membenarkan sebarang perobohan atau penggunaan jentera berat.

Namun menurutnya, penguatkuasaan tetap melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), selain tindakan agresif pemaju.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, keadaan itu sekali gus menafikan hak penduduk untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.

“Pas menzahirkan simpati dan solidariti penuh kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang terpaksa berdepan kesusahan mendadak akibat pengosongan ini.

“Simpati turut dirakamkan kepada anggota polis yang dilaporkan cedera ringan dalam kekecohan tersebut. Pada masa sama, PAS akan terus memantau rapat perkembangan isu ini dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk terjejas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×