RMK13 peluang terakhir tamatkan era aset ketenteraan usang

RMK13 peluang terakhir tamatkan era aset ketenteraan usang

PELABURAN terhadap aset pertahanan moden adalah kunci bagi mengelakkan kemalangan berulang dan memastikan keselamatan anggota melalui teknologi terkini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAH pembangunan pertahanan di Asia Tenggara menunjukkan peningkatan signifikan, sejajar dengan lonjakan perbelanjaan ketenteraan di seluruh rantau Asia Pasifik.

Pada tahun ini sahaja, perbelanjaan pertahanan Asia Pasifik meningkat sebanyak 5.1 peratus, mencecah jumlah keseluruhan sekitar AS$632.2 bilion (RM2.97 trilion). Daripada jumlah itu, hampir AS$211 bilion (RM991.7 bilion) dibelanjakan negara-negara utama ASEAN seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Singapura.

Negara-negara ini secara aktif memperkukuh hubungan keselamatan dengan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya sebagai sebahagian daripada penyusunan semula keseimbangan kuasa di Indo Pasifik.

Sebagai contoh, Indonesia meluluskan belanjawan pertahanan sebanyak AS$10.6 bilion (RM49.82 bilion) bagi tahun ini, dengan rancangan menaikkan peruntukan kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Vietnam pula memperuntukkan hampir AS$7.5 bilion (RM35.25 bilion), manakala Thailand mengekalkan perbelanjaan sekitar AS$11 hingga 12 bilion (RM51.7 hingga RM56.4 bilion) setiap tahun dengan pertumbuhan sekitar 5.8 peratus untuk tempoh lima tahun akan datang.

Kesemua negara ini memperlihatkan komitmen jelas dalam merangka pelan pemodenan aset ketenteraan serta membina ekosistem industri pertahanan nasional. Justeru, perkembangan ini memberikan tekanan strategik kepada Malaysia untuk bertindak lebih proaktif dalam menyusun keupayaan pertahanan negara sendiri.

MENJAWAB CABARAN SERANTAU

Kedudukan Malaysia yang strategik di tengah laluan penting Indo Pasifik memerlukan keupayaan tempur yang berkesan dan dihormati. Ini penting bagi menjamin pertahanan wilayah, daya runding dalam hubungan antarabangsa serta keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Kita perlu sedar keusangan aset ketenteraan membuka ruang eksploitasi oleh aktor negara dan bukan negara dalam bentuk ancaman asimetrik, pencerobohan wilayah atau tekanan diplomatik.

Lebih membimbangkan, keselamatan perajurit turut terancam apabila aset pertahanan tidak lagi berada dalam keadaan optimum. Ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi soal keselamatan nasional.

KEUSANGAN ASET DAN RISIKO NYAWA

Kita mesti akui aset-aset pertahanan negara kini berhadapan dengan keusangan yang ketara. Banyak platform ketenteraan telah berusia dan memerlukan penaiktarafan segera.

Kebergantungan terhadap aset lama bukan sahaja melemahkan kesiapsiagaan, malah mewujudkan risiko kepada keselamatan anggota dan kejayaan misi.

Sebagai contoh, dalam sektor pertahanan udara, pesawat Hawk menunjukkan tahap keusangan yang membimbangkan. Sejak 1996, sembilan juruterbang terkorban dalam insiden berkaitan pesawat ini, termasuk insiden terbaru pada 6 Mei lalu melibatkan kerosakan sistem pendaratan hadapan. Ini jelas menunjukkan pemodenan aset bukan lagi pilihan tetapi keperluan mendesak.

Bagi pertahanan laut pula, kejadian KD Pendekar yang tenggelam di perairan Tanjung Penyusop pada Ogos 2024 menjadi contoh kegagalan sistemik dalam penyelenggaraan dan naik taraf aset.

Laporan siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menunjukkan kelewatan dalam naik taraf sistem navigasi dan ketiadaan pelan penyelenggaraan komprehensif sebagai punca utama.

Anggota yang mengoperasi­kan aset usang ini berhadapan tekanan psikologi sementara jurang antara keupayaan sebenar dan keperluan strategik kian melebar.

RMK13: TITIK TOLAK BAHARU?

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang dibentangkan baru-baru ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus dijadikan medan utama untuk menyusun semula strategi pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin juga menyatakan komitmen beliau terhadap usaha pemodenan aset ketenteraan, termasuk dalam Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan serta perbahasan di Parlimen.

Dalam konteks ini, perbahasan RMK13 mesti dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli Parlimen dari kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang. Mereka perlu tampil dengan idea dan pandangan yang bernas, bukan sekadar retorik atau pekikan emosi semata-mata.

Keterbukaan Menteri Pertahanan yang menggalakkan penyertaan semua pihak harus dilihat sebagai peluang keemasan untuk menyuarakan isu kritikal pertahanan negara.

Tambahan pula, Kementerian Pertahanan kini sedang meneliti dapatan Kajian Separuh Penggal (KSP) Kertas Putih Pertahanan (KPP). Ini membuka ruang untuk penyelarasan semula keutamaan dalam perolehan aset, strategi pertahanan dan perancangan jangka sederhana yang lebih responsif terhadap cabaran semasa.

 

SINERGI KERTAS PUTIH PERTAHANAN

Sekiranya RMK13 tidak diselaraskan dengan syor-syor strategik daripada KPP, kita berisiko terus berada dalam mod bertahan. Perancangan pertahanan negara akan terus terpecah antara strategi, pelaksanaan dan pembiayaan.

Oleh itu, sinergi antara RMK13 dan KPP mesti dimuktamadkan segera. Ia perlu diterjemahkan dalam bentuk unjuran kewangan yang realistik, keupayaan berasaskan ancaman semasa serta perancangan industri pertahanan tempatan yang mampan.

Negara-negara jiran membuktikan mereka serius dalam membangunkan sektor pertahanan masing-masing. Indonesia, misalnya, meletakkan pertahanan sebagai keutamaan kedua dalam Rencana Pembangunan Jangka Menengah Nasional (RPJMN) 2025-2029 di bawah Presiden Prabowo.

Filipina pula meluluskan perolehan strategik berjumlah AS$35 bilion (RM164.5 bilion) pada Mei 2024 sebagai komitmen Presiden Marcos Jr. terhadap pembinaan kekuatan ketenteraan.

KEUTAMAAN NEGARA

RMK13 adalah peluang strategik untuk menjadikan sektor pertahanan sebagai tunjang kepada kestabilan negara, pembangunan teknologi dan kedaulatan nasional. Sebarang kelewatan atau keengganan untuk merangka pelan pemodenan menyeluruh hanya akan mengekalkan Malaysia dalam kedudukan defensif dalam ekosistem keselamatan serantau.

Parlimen mesti menjadi medan perbahasan profesional dan konstruktif. Pemodenan aset pertahanan bukan hanya isu ketenteraan, tetapi soal masa hadapan negara. Jika kita benar-benar serius mahu mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Malaysia, maka pelaburan dalam pertahanan mesti dilihat sebagai tanggungjawab kolektif yang melangkaui sempadan politik.-UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sarawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×