KITA menyaksikan dengan penuh rasa syukur dan bangga apabila wanita Muslimah turut menyertai misi kemanusiaan Sumud Flotila ke Palestin. Golongan ini menonjolkan sifat berani serta membawa mesej besar bahawa Islam bukan sekadar agama ritual tetapi menuntut pembelaan terhadap keadilan dan kemanusiaan.
Namun, usaha ini menimbulkan persoalan hukum, bolehkah wanita bermusafir tanpa mahram untuk tujuan seumpama ini?
Benar, terdapat riwayat yang melarang wanita bermusafir tanpa mahram dan sebahagian masyarakat berpegang pada hadis ini secara literal lalu menganggap ia larangan mutlak. Namun, disiplin fiqh menuntut untuk melihat dalil secara menyeluruh kerana ulama tidak sekadar berhenti pada satu teks tetapi meneliti makna, konteks dan tujuan larangan itu.
Apabila membincangkan hukum wanita bermusafir tanpa mahram, para ulama menekankan persoalan utama ialah menentukan sifat larangan tersebut persoalan yang perlu dijawab adalah, adakah ia larangan yang bersifat tetap (tahrim) atau sekadar larangan sementara yang berfungsi menutup pintu fitnah (saddu al-dhara‘i)?
Perbezaan ini amat penting kerana ia memberi kesan besar terhadap hukum yang diamalkan dalam konteks semasa.
Jika larangan itu tergolong dalam kategori tahrim, maka ia bermaksud haram secara mutlak memberi erti, hukum tersebut bersifat kekal dan tidak boleh berubah meskipun keadaan sudah selamat atau ancaman telah hilang.
Sama seperti pengharaman arak, zina dan riba, larangan jenis ini tidak boleh ditawar-menawar kerana menyentuh perkara bertentangan syariat.
Namun, jika larangan itu berbentuk saddu al-dhara‘i, maka kedudukannya lebih fleksibel. Ia bermaksud sesuatu larangan dikuatkuasakan bukan kerana perbuatan itu haram secara zatnya tetapi kerana boleh membuka ruang kepada keburukan atau mudarat.
Contoh, menjual anggur kepada pembuat arak bukanlah haram kerana anggur itu sendiri yang haram, tetapi kerana ia berpotensi digunakan untuk maksiat. Begitu juga, larangan wanita bermusafir tanpa mahram pada zaman dahulu bertujuan mencegah kemungkinan diganggu, diculik atau terdedah kepada bahaya dalam perjalanan yang panjang dan sunyi.
Apabila sebab asal larangan, iaitu kebimbangan terhadap keselamatan wanita, sudah berubah dengan suasana semasa, maka hukum juga boleh berubah. Prinsip ini dikenali sebagai fath al-dhara‘i membuka ruang keharusan apabila fitnah yang ditakuti sudah tidak lagi wujud.
Ada juga riwayat yang membenarkan wanita bermusafir dalam keadaan tertentu. Contoh jelas ialah ketika Khalifah Umar al-Khattab mengizinkan isteri-isteri Nabi SAW menunaikan ibadah haji ditemani dua sahabat besar, Uthman bin Affan dan Abdur-Rahman bin ‘Awf. Peristiwa ini menjadi dalil ijma‘ sukuti kerana tiada sahabat lain yang membantah.
Lebih menarik, hadis daripada ‘Adi bin Hatim menyebut “akan datang suatu zaman apabila seorang wanita mampu bermusafir dari al-Hirah di Iraq sehingga ke Kaabah tanpa ditemani suami dan dia hanya takut kepada Allah”.
Menurut Dr. Fatimah Syarha dalam siaran di media sosial, hal ini bukan sekadar ramalan tetapi pujian terhadap keamanan yang meluas sebagai bukti syariat memberi keharusan apabila perjalanan itu aman dan terjamin.
Dalam memahami hukum, penting untuk membezakan antara ibadah dan muamalat kerana hukum ibadah menekankan kepatuhan tanpa syarat, manakala hukum muamalat menilai tujuan dan hikmah di sebaliknya.
Larangan musafir tanpa mahram pada asalnya bertujuan menjaga maruah serta melindungi wanita daripada bahaya namun, apabila faktor risiko itu berubah, hukum juga boleh berubah bahkan, dalam keadaan darurat atau maslahat besar, perkara yang asalnya terlarang boleh menjadi harus.
Pandangan ini turut diperkuatkan oleh ulama kontemporari antaranya, Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan larangan musafir tanpa mahram tidak bersifat mutlak, sebaliknya bergantung pada keadaan yang mana menurut beliau, jika perjalanan dilakukan dalam suasana selamat, seperti dengan kapal terbang atau rombongan yang terjamin, maka tiada lagi sebab untuk mengharamkannya.
Malah, Majlis Fiqh Antarabangsa dalam beberapa resolusinya juga mengiktiraf keharusan wanita menunaikan haji tanpa mahram sekiranya perjalanan mereka aman dan disertai jemaah yang dipercayai.
MUSAFIR ZAMAN MODEN
Perjalanan hari ini tidak lagi sama seperti zaman dahulu. Dulu, perjalanan darat atau laut mengambil masa berhari-hari dengan risiko perompak dan kesunyian padang pasir, namun kini wanita boleh bermusafir dengan kapal terbang, kereta api, bas mahupun kapal laut dalam suasana jauh lebih selamat disebabkan adanya sistem keselamatan moden, pengawasan antarabangsa, serta kehadiran orang ramai menjadikan kebimbangan asal tidak lagi relevan.
Ulama kontemporari bahkan membuka ruang keharusan bagi wanita menunaikan haji tanpa mahram apabila keadaan perjalanan terbukti selamat. Justeru, tujuan asal hukum iaitu menjaga keselamatan sebenarnya tercapai dalam konteks moden.
MISI SUMUD FLOTILA: LEBIH DARI SEKADAR MUSAFIR
Dalam konteks Sumud Flotila, musafir membawa nilai yang jauh lebih besar kerana ia bukan perjalanan bersifat peribadi atau hiburan tetapi jihad kemanusiaan untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang dizalimi.
Dalam kerangka fiqh, musafir yang berkait dengan maslahat umat dan jihad sememangnya lebih utama daripada musafir biasa.
Tambahan pula, rombongan flotila tidak bergerak secara individu, mereka terdiri daripada aktivis antarabangsa, lelaki dan wanita, Muslim dan bukan Muslim, yang berlayar secara teratur di bawah pemantauan antarabangsa.
Keadaan ini memenuhi syarat yang dibincangkan ulama iaitu wanita boleh bermusafir jika bersama rombongan yang dipercayai atau melalui jalan yang aman.
Kehadiran wanita muslimah dalam misi ini juga membawa nilai simbolik menunjukkan kepada dunia yang wanita Islam tidak terpinggir daripada perjuangan kemanusiaan. Malah, kehadiran mereka menangkis propaganda musuh yang sering mendakwa Islam menyekat peranan wanita.
Suara wanita dalam misi sebegini membawa dimensi moral yang tersendiri menunjukkan mesej jelas yang wanita Muslim dilihat lembut tetapi penuh ketegasan, menyentuh hati nurani masyarakat antarabangsa selari dengan pepatah ‘Tangan yang menghayun buaian, mampu menggoncang dunia’.-UTUSAN
Dr. Nurul Suhaida Ibrahim ialah Pembantu Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










