Serangan dron Russia di Poland bakal tarik NATO sertai perang Ukraine?

Serangan dron Russia di Poland bakal tarik NATO sertai perang Ukraine?

POLIS dan tentera memeriksa sebuah rumah yang musnah terkena serpihan dron Russia di perkampungan Wyryki-Wola, timur Poland. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WARSAW: Serangan dron Russia terhadap Poland kelmarin dikhuatiri bakal mengaktifkan Artikel 5 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengenai asas strategi pertahanan kolektif yang boleh mengheret pakatan itu untuk menyertai peperangan di Ukraine.

Dron Russia dilaporkan memasuki ruang udara Poland pada malam Selasa dan awal pagi Rabu, dengan pasuka tentera serta jet pejuang F-16 Poland, jet F-35 Belanda dan pesawat pengawasan AWACS milik Itali dikerah bertindak balas terhadap pencerobohan itu.

Insiden yang berlaku sekitar pukul 11:30 malam Selasa hingga 6.30 pagi pada Rabu (waktu tempatan) itu menandakan pertembungan ketenteraan langsung pertama dengan Moscow sejak Kremlin melancarkan pencerobohan penuh terhadap Ukraine pada 2022.

Artikel 5 pakatan NATO menegaskan, serangan bersenjata terhadap satu atau lebih anggota di Eropah atau Amerika Utara dianggap sebagai serangan terhadap semua, sekali gus mewajibkan tindak balas, termasuk penggunaan kekuatan bersenjata bagi memulihkan keselamatan.

Namun, Artikel 5 tidak diaktifkan secara automatik kerana negara diserang perlu membawa isu tersebut dan keputusan hanya dibuat selepas menerima konsensus 30 negara anggota NATO yang bersetuju serangan itu memenuhi syarat untuk tindak balas bersama.

Sejak ditandatangani pada 1949, Artikel 5 hanya diaktifkan sekali sahaja selepas serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri Poland, Donald Tusk menyifatkan tindakan Russia menceroboh ruang udara negaranya sebagai satu provokasi berskala besar dan memberi amaran prospek berlakunya konflik ketenteraan kini semakin hampir berbanding mana-mana insiden sejak Perang Dunia Kedua.

“Tidak ada sebab untuk mengatakan kita berada dalam keadaan perang tetapi situasi ini jauh lebih berbahaya berbanding semua insiden sebelum ini.

“Kami bersedia untuk menangkis provokasi sebegini. Keadaannya serius dan tidak ada siapa yang ragu kita mesti bersedia untuk pelbagai senario. Semua sekutu kita mengambil situasi ini dengan amat serius,” katanya.

Tusk berkata, Poland akan terlebih dahulu mengaktifkan Artikel 4 yang membolehkan sesebuah negara meminta perundingan rasmi dalam pakatan jika merasakan keselamatannya terancam dan dianggap sebagai langkah politik awal sebelum mempertimbangkan Artikel 5.

Dalam catatan sejarah, Artikel 4 pernah digunakan sebanyak tujuh kali.

Kali terakhir ialah pada 2022, apabila Bulgaria, Republik Czech, Estonia, Latvia, Lithuania, Poland, Romania dan Slovakia mengadakan rundingan sebaik sahaja Russia menceroboh Ukraine.

Walaupun menghargai ucapan solidariti yang diterimanya, Tusk menegaskan, kata-kata sahaja tidak cukup dan Poland kini mengharapkan sokongan yang jauh lebih besar daripada rakan-rakan sekutu.

Serangan provokasi Russia

Laporan awal menunjukkan terdapat 19 pencerobohan ruang udara oleh dron Russia dengan
satu daripadanya mengenai sebuah bangunan kediaman di Wyryki, timur Poland, namun tiada kecederaan dilaporkan

Poland turut bertindak menutup sementara sekurang-kurangnya tiga lapangan terbang, termasuk Lapangan Terbang Chopin di Warsaw dan menasihatkan orang ramai agar kekal di rumah sementara operasi dijalankan.

Penduduk di kawasan berisiko di wilayah timur Poland yang bersempadan dengan Ukraine, termasuk ibu kota Warsaw turut diarah mencari perlindungan.

Tusk turut mengadakan mesyuarat tergempar bersama menteri-menteri kanan Kabinet dan menyatakan pejabatnya kini berhubung rapat dengan pegawai NATO bagi memantau situasi itu.

Pencerobohan dron Russia itu berlaku hanya tiga hari selepas Moscow menyerang bangunan kerajaan utama di Kyiv, Ukraine yang turut merosakkan bangunan Kesatuan Eropah (EU) dan British Council di ibu kota Ukraine.

Diplomat tertinggi EU, Kaja Kallas yang juga naib presiden Suruhanjaya Eropah (EC) menyifatkan insiden ini sebagai peningkatan baharu dalam perang Russia-Ukraine.

“Kita mesti menaikkan kos terhadap Moscow, memperkukuh sokongan kepada Ukraine, dan melabur dalam pertahanan Eropah. EU akan memainkan peranan besar dan kami akan menyokong inisiatif seperti mempertingkat garisan pertahanan perisai sempadan timur,” katanya dalam satu kenyataan di X.

Kallas berkata, EU berdiri sepenuhnya bersama Poland dan menyifatkan pencerobohan dron Russia sebagai pelanggaran ruang udara paling serius sejak perang bermula, malah petunjuk menyatakan ia disengajakan, bukan kemalangan.

Pesuruhjaya Pertahanan EU, Andrius Kubilius turut menekankan keperluan untuk membina ‘tembok dron’ di sepanjang sempadan.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memberi amaran, Moscow sedang sengaja mencabar NATO dengan menyasarkan dron ke arah Poland.

“Jika Russia tidak berdepan tindak balas tegas, mereka akan terus meningkatkan serangan. Lebih 15 wilayah Ukraine diserang semalaman melibatkan 415 dron pelbagai jenis serta lebih 40 peluru berpandu jelajah dan balistik.

“Russia mesti merasai akibatnya, mereka perlu sedar perang ini tidak boleh diperluas dan akhirnya terpaksa ditamatkan,” tegasnya.

Ancaman latihan ketenteraan Zapad

Poland turut memaklumkan akan menutup sempadan dengan Belarus pada tengah malam Khamis sebelum latihan ketenteraan Russia bermula di kawasan itu.

Latihan besar-besaran Russia-Belarus yang dinamakan Zapad dan biasanya melibatkan ribuan tentera, kereta kebal, pesawat serta operasi tembakan sebenar di wilayah barat, menjadi kebimbangan keselamatan utama bagi Poland, Lithuania dan Latvia.

Menteri Pertahanan Belarus berkata, Zapad tahun ini akan merangkumi latihan penggunaan senjata nuklear serta peluru berpandu hipersonik jarak sederhana Oreshnik buatan Russia.

Zapad sebelum ini pernah menimbulkan kebimbangan Barat, terutamanya pada 2021 apabila tentera Russia yang dikerahkan ke Belarus tidak pulang selepas latihan dan kemudiannya menjadi sebahagian daripada pasukan serangan awal ke atas Ukraine pada 2022.

India, yang baru-baru ini dikenakan tarif perdagangan tambahan oleh Presiden AS, Donald Trump kerana membeli minyak Russia, turut dijangka menyertai latihan ketenteraan tujuh hari itu.

Trump juga dilaporkan mendesak EU mengenakan tarif perdagangan 100 peratus terhadap India dan berjanji akan memilih tindakan serupa jika EU bersetuju.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×