KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu maklumat daripada Polis Republik Indonesia (Polri) berkaitan pemilik nombor telefon yang dikesan menghantar mesej ugutan kepada pegawai Petronas berkaitan ancaman keselamatan fasiliti gas asli cecair (LNG) di sekitar Bintulu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, hasil keterangan diambil daripada pegawai terbabit mendapati nombor telefon yang dikesan menghantar mesej ugutan adalah daripada negara jiran.
“Susulan itu, kami perlu mendapatkan bantuan pihak berkaitan bagi mengesan asal usul (pemilik) yang menghantar mesej terbabit. Pihak kami telah berhubung dengan Polri dan sedang menunggu maklumat dari pihak sana, ia memerlukan sedikit masa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Simposium Sains Forensik Kebangsaan untuk Penguatkuasaan Undang-undang (NAFSLE) Edisi ke-6 2025 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
Menurutnya, PDRM juga sedang bekerjasama dengan semua agensi-agensi di dalam negara berkaitan kes terbabit.
“Ia sama ada Petronas atau pasukan keselamatan kita dan juga negara-negara jiran yang perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, ugutan itu dihantar melalui mesej teks daripada nombor telefon yang didaftarkan di Indonesia.
Ia selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini mengarahkan semua fasiliti LNG di Bintulu memperketat kawalan keselamatan susulan ugutan yang dilaporkan.
MKN dalam kenyataan berkata arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara tersebut.
MKN juga meminta agensi-agensi keselamatan negara untuk kekal bersedia berdepan dengan kemungkinan dan telah mengambil langkah-langkah kawalan terhadapan ancaman keselamatan.- UTUSAN











