ADE sasar 40 barisan penyelenggaraan pesawat

ADE sasar 40 barisan penyelenggaraan pesawat

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz (paling kiri), menyaksikan penyerahan perjanjian memorandum persefahaman antara Asia Digital Engineering (ADE) yang diwakili oleh Mahesh Kumar (tengah), dan Air France Industries yang diwakili Gery Mortreux (dua dari kanan) serta turut hadir Duta Perancis ke Malaysia, Axel Cruau (paling kanan) di Menara MITI, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Asia Digital Engineering (ADE), anak syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) milik Capital A, bakal memperluas kapasiti operasi dengan rancangan membangunkan 40 barisan penyelenggaraan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahesh Kumar berkata, langkah itu penting bagi menampung permintaan tinggi industri penyelenggaraan pesawat di rantau Asia Tenggara, khususnya melibatkan armada AirAsia yang semakin berkembang.

Menurut beliau, ketika ini ADE memiliki 16 barisan penyelenggaraan dan sedang merancang menambah empat lagi menjelang hujung tahun ini. 

“Selain itu, syarikat turut berunding dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk membina tambahan 20 barisan penyelenggaraan baharu di lokasi yang belum diputuskan sama ada di KLIA atau lapangan terbang lain.

“Dengan pertambahan ini, jumlah keseluruhan barisan ruang penyelenggaraan boleh mencecah 40. Ini amat penting kerana kapasiti sedia ada hanya mampu menampung sekitar 70 peratus armada AirAsia,” katanya pada sidang akhbar sempena pemeteraian perjanjian dengan Air France di Menara MITI, semalam. 

Mengulas lanjut, Mahesh berkata, sasaran jangka panjang ADE adalah mengekalkan 70 peratus pelanggan daripada ASEAN, manakala 30 peratus lagi daripada luar rantau.

Pada masa ini, pasaran ASEAN menyumbang kira-kira 90 peratus pelanggan syarikat, manakala baki 10 peratus adalah daripada pasaran bukan ASEAN.

“Jika kapasiti meningkat, kami boleh menampung lebih banyak pelanggan luar tanpa menjejaskan ASEAN. Fokus utama kami adalah menguasai sepenuhnya pasaran ASEAN terlebih dahulu sebelum berkembang ke peringkat global,” ujarnya. 

Sementara itu, usaha memperkukuh kapasiti syarikat turut diperkasa dengan termeterainya perjanjian jangka panjang bersejarah antara ADE dan Air France.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dua perjanjian utama dimeterai iaitu penyelenggaraan berat dan pengubahsuaian pesawat Airbus A330 milik Air France serta perjanjian sokongan komponen jangka panjang melibatkan Air France Industries KLM Engineering & Maintenance (AFI KLM E&M) dengan ADE untuk pesawat A321neo.

Di bawah perjanjian pertama, kerja penyelenggaraan berat akan bermula Oktober 2025 ke atas Airbus A330-200 dengan beberapa siri pemeriksaan dijadualkan secara berfasa.

Air France dijangka menghantar sebuah pesawat setiap suku tahun ke hangar ADE, dengan lima pesawat pertama akan di servis menjelang suku pertama 2027.

Dalam pada itu, slot penyelenggaraan telah dirancang lebih setahun lalu meskipun fasiliti ADE kini penuh sehingga suku ketiga 2026.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Air France Industries, Géry Mortreux berkata, cabaran rantaian bekalan kekal menekan industri, khususnya untuk platform baharu seperti A350 dan A220.

“Isu cabaran rantaian bekalan bukan sahaja dialami syarikat penerbangan, tetapi merentasi keseluruhan industri bermula dari pengeluar asal (OEM) hingga ke MRO. Kami cuba menguruskannya setiap hari bersama OEM bagi memastikan operasi pelanggan tidak terjejas.

“Kami menjangkakan 2025 masih kekal mencabar seperti tahun ini, namun keadaan dijangka bertambah baik menjelang 2026,” katanya.

Selain penyelenggaraan komponen, kerjasama ADE dan Air France turut melibatkan perkongsian kepakaran, rantaian bekalan dan sinergi operasi kerana kedua-dua kumpulan memiliki syarikat penerbangan serta mengoperasikan pesawat keluarga A320.

Kerjasama ini sekali gus dijangka memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai hab penyelenggaraan pesawat berdaya saing di rantau Asia Tenggara menjelang 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×