BALIK PULAU : Polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai dakwaan pengabaian sepasang kanak-kanak lelaki kembar yang tular di laman sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, terdahulu, hantaran itu telah dimuat naik ke dalam laman Facebook atas nama Wana Talia yang dipercayai ibu kandung mangsa.
Katanya, hantaran tersebut memaparkan keadaan kanak-kanak berkenaan yang disyaki diabaikan di sebuah pangsapuri di sini.
“Siasatan mendapati, kedua-dua mangsa iaitu kembar lelaki yang masing-masing berusia lapan tahun itu dipercayai telah dijaga ibu tiri mereka yang berusia 39 tahun.
“Pemeriksaan awal terhadap kanak-kanak berkenaan bagaimanapun tidak menemukan sebarang kesan lebam atau kecederaan fizikal. Hasil percakapan pula mendapati, mereka tidur di luar rumah kerana dimarahi selepas bermain api dalam rumah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Berhubung isu mata salah seorang daripada kanak-kanak itu ditutup semasa sedang makan seperti yang tular di media sosial, kata Sazali, ibu tiri mangsa dikatakan terpaksa berbuat demikian kerana mangsa tidak gemar untuk memakan sayur-sayuran.
“Kedua-dua kanak-kanak itu bagaimanapun telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut dan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Wanita yang dipercayai ibu kandung mangsa sebelum itu mendakwa, dia tidak menyangka anak-anak yang dijaga oleh bekas suami bersama isteri baharunya itu berdepan nasib malang sehingga tidak diberi makan dan tempat tinggal yang sewajarnya.
“Saya sangka mereka (anak-anak) hidup bahagia bersama ayah dan ibu tiri. Ada rumah, ada makanan. Tetapi, rupanya anak saya diperlakukan seperti bukan manusia, malah, disuruh tidur di kaki lima flat. Hati ibu mana yang tidak luluh,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik ke dalam akaun Facebook itu.
Tambah wanita terbabit, dia terpaksa melepaskan hak penjagaan sementara kepada bekas suaminya itu selepas bercerai sebelum ini kerana ketika itu dia hidup dalam kesempitan dan tidak mampu untuk menyara anak-anak yang masih kecil.
“Namun, apa yang berlaku sekarang sungguh mengejutkan. Saya dapat maklumat dan bukti termasuk gambar yang menunjukkan keadaan mereka (anak-anak). Saya tak sangka ibu tirinya sanggup berbuat demikian.
“Saya merayu supaya perkara ini disiasat segera. Mereka baru darjah dua, masih tidak mengerti apa-apa. Saya mohon jangan seksa anak-anak saya,” katanya.-UTUSAN










