Warisan optimis menang PRN Sabah walau gerak solo

Warisan optimis menang PRN Sabah

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Warisan (Warisan) optimis menang dalam Pilihan Raya Negeri Sabah berdasarkan senario politik semasa di peringkat negeri dan Persekutuan walaupun memutuskan untuk bergerak solo tanpa kerjasama parti lain.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah bersatu dan mengundi parti yang tidak boleh dikawal oleh mana-mana parti nasional di peringkat Persekutuan. 

Katanya, PRN Sabah adalah tentang memilih pemimpin negeri dan ia menjadi bukti sama ada rakyat Sabah benar-benar mahu menjadi seperti Sarawak.

“Jika rakyat Sabah mahu menjadi seperti Sarawak, maka fikirlah seperti orang Sarawak dan bertindak seperti orang Sarawak.

“Paling penting, mengundilah seperti orang Sarawak iaitu memilih parti yang tidak boleh dikawal oleh mana-mana parti nasional dari Semenanjung. Warisan menawarkan pilihan tersebut kepada rakyat Sabah,” katanya kepada Utusan Malaysia

Sebelum ini, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengumumkan parti itu bertanding dkesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada PRN akan datang.

Pada PRN Sabah 2020, Warisan menang 29 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan manakala 37 DUN diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Mohd. Azis berkata, tiada sebarang rundingan atau kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana Warisan memuktamadkan untuk bergerak secara solo.  

Katanya, malah tiada pertemuan diatur melibatkan pemimpin kedua-dua parti bagi membentuk kerjasama dalam PRN Sabah.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan juga sudah memutuskan dan sebulat suara tiada yang membantah atau memberikan pandangan berbeza. 

“Kami semua bersetuju untuk bergerak solo. Tiada lagi perbincangan mengenai perkara itu dan Warisan kini memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan jentera di semua 73 kawasan DUN. Ia sudah disahkan dan dimuktamadkan,” katanya. 

Disoal kerjasama dengan PN boleh terbentuk selepas PRN sekiranya DUN Sabah tergantung, bekas Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, tiada perbincangan mengenai perkara itu kerana pihaknya yakin boleh menang. 

“Sebarang keputusan selepas PRN akan kami tentukan dan umumkan apabila tiba masanya. Buat masa ini, tiada sebarang ‘jika’ (kebarangkalian bekerjasama),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×