G. Palanivel kekal dikenang sebagai pejuang komuniti India

G. Palanivel kekal dikenang sebagai pejuang komuniti India

G. PALANIVEL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Datuk Seri G. Palanivel, yang meninggal dunia pada 17 Jun lalu pada usia 76 tahun, akan sentiasa dikenang sebagai tokoh yang dihormati dalam kalangan wartawan dan ahli politik. Malah perjalanan kerjaya politiknya juga luar biasa —daripada seorang wartawan kepada Presiden MIC dan menteri Kabinet.

Dikenali sebagai tokoh yang tenang, bersahaja dan lemah lembut, mendiang Palanivel dihormati merentasi perbezaan politik.

Kejujuran, integriti dan pendekatan yang adil menjadi mendiang antara pemimpin yang ‘gentleman’ dalam kerajaan, dengan ketenangan luar biasa walaupun dalam tekanan tinggi—sifat yang dikagumi kawan mahupun lawan.

 

PEJUANG KOMUNITI INDIA

Sepanjang kerjaya politiknya, Palanivel memberi fokus kepada usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat India di Malaysia. Di bawah kepemimpinannya, MIC melaksanakan pelbagai inisiatif penting termasuk program latihan vokasional, penubuhan Universiti AIMST, dan pemerkasaan sekolah Tamil.
Dalam politik, Palanivel menyertai MIC ketika berusia 19 tahun dan kemudian menamatkan pengajian dalam bidang sejarah di Universiti Malaya.

Memulakan kerjaya dengan mengajar di sekolah swasta di Kuantan, mendiang juga pernah bertugas sebagai penyelidik di Muzium Negara dan di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Palanivel menyertai Agensi Berita Nasional (Bernama) sebagai wartawan dan tulisannya yang tajam serta profesional menarik perhatian Presiden MIC ketika itu, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Mendiang kemudiannya menjadi editor meja ekonomi Bernama sebelum dilantik sebagai setiausaha akhbar Samy Vellu.

Mendiang membantu mempromosikan inisiatif menteri dalam pembangunan infrastruktur dan komunikasi termasuk projek lebuh raya serta permulaan industri telekomunikasi mudah alih negara.

Keupayaan beliau dalam media dan strategi politik menyebabkan Samy Vellu membimbingnya untuk jawatan lebih tinggi.

Pada tahun 1990, Palanivel memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor di bawah tiket Barisan Nasional (BN) dan berkhidmat selama empat penggal berturut-turut sehingga 2008. Beliau kembali ke Parlimen sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands dari 2013 hingga 2018.

Dalam MIC, mendiang menaiki tangga kepemimpinan dengan konsisten. Menjadi Timbalan Presiden pada tahun 2008. Sebelum itu, beliau mencipta kejutan apabila menewaskan penyandang jawatan Timbalan Presiden paling lama dalam pemilihan 2006— titik penting yang mengukuhkan kedudukannya dalam MIC.

Mendiang akhirnya mengambil alih jawatan Presiden MIC pada 2010 dan memimpin parti sehingga 2015. Dalam tempoh tersebut, mendiang menekankan peranan MIC dalam pendidikan dan pembangunan ekonomi masyarakat India termasuk pertumbuhan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Universiti AIMST.

Palanivel menyandang pelbagai jawatan penting, antaranya Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kebajikan dan Pembangunan Keluarga, serta Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar
Legasi yang dikenang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penghormatan berkata: “Datuk Seri Palanivel telah meninggalkan kesan mendalam kepada negara melalui puluhan tahun perkhidmatannya. Sumbangan beliau dalam pembangunan luar bandar, pemuliharaan alam sekitar, dan masyarakat India sangat dihargai. Beliau adalah pemimpin berprinsip dan suara perpaduan serta kemajuan untuk semua rakyat Malaysia.”

Mendiang G. Palanivel meninggalkan balu, Datin Seri Kanagam—yang dikenalinya semasa bertugas di CAP—serta empat orang anak lelaki. Legasinya sebagai jambatan antara dunia kewartawanan dan kepimpinan nasional terus menjadi inspirasi kepada generasi baharu rakyat Malaysia.-UTUSAN

 

Peruji Perumal adalah Penolong Pengarang Malaysia Nanban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×