Labubu terus menjadi kegilaan dalam kalangan pencinta koleksi figura patung di Malaysia.
Setiap keluaran mendapat permintaan tinggi hingga ada yang sanggup berhabis duit demi mendapatkan koleksi idaman hati.
Bukan sahaja untuk dikumpul, malah patung comel ini juga boleh dijual semula dengan harga lumayan.
Pengumpul dan penjual semula Labubu, Amy Shera Saipal Rizal @ Saiful Rizal, 28, antara penggemar tegar yang menambah koleksinya sejak tahun lepas.
“Pada mulanya saya hanya mahu kumpul secret Labubu. Sudah banyak buka kotak tetapi langsung tiada keluar secret.
“Sejak itu juga, saya mula kumpul dan jual Labubu. Saya ingat lagi tarikh pada itu ialah 14 September 2024, jadinya hampir setahun juga saya bergiat aktif dalam jual beli Labubu,” katanya.
Mengikut carian di pasaran, harga Labubu bermula daripada RM100 ke atas.
Manakala, harga jualan semula boleh menjadi dua kali ganda hingga mencecah ribuan ringgit.
Menurut Amy, dia menerima sambutan luar jangkaan kerana Labubu pada ketika itu belum memasuki pasaran Malaysia.
Labubu koleksi ‘Have A Seat’ antara yang mempunyai nilai jualan tinggi mencecah sehingga RM1,000 mengikut permintaan dan edisi keluaran untuk sekotak lengkap.
Mengulas mengapa Labubu masih relevan sebagai trend, katanya, faktor eksklusif memainkan peranan utama terutama yang memiliki Labubu edisi terhad.
“Labubu dengan demand tinggi ialah Labubu V1 warna merah jambu. Kalau dapat secret pun, saya akan letakkan harga lebih mahal.
“Keluaran secret adalah terhad. Saya perlu buka wholebox untuk dapatkan,” katanya.
Namun, bukan semua koleksi sanggup dilepaskan.
Labubu Mokoko Popland misalnya, hanya ada di Beijing.
“Ramai pelanggan mahu, tetapi saya memang tidak boleh lepaskan Mokoko V1 sebab harganya sekarang agak mahal,” katanya.
Menyelami minatnya terhadap figura ini, Amy turut berkongsi pengalaman yang kekal dalam ingatan.
“Saya pernah rasa hendak sangat Labubu, tetapi kena berebut dalam talian sahaja. Banyak kali juga saya terlepas sebab ramai yang berebut pada masa itu.
“Saya juga pernah duduk seharian di depan Pop Mart hanya untuk tunggu stok Labubu yang baru. Kadang ada hasil, kadang langsung tidak ada,” kongsinya.
Berkongsi minat sama, seorang barista, Nornazumi Jamil, 24, megakui dirinya seorang Gen Z yang mudah dilanda rasa takut ketinggalan. Namun, pilihannya sedikit berbeza. Jika semua orang sibuk memburu
Labubu, dia lebih teruja menambah koleksi patung mainan lembut (plushie) keluaran ZUS Coffee.
“Sebab saya kerja dengan syarikat yang ada figurine, memang rasa rugi kalau tidak beli walaupun koleksi dah banyak.
“Saya rasa teruja setiap kali nampak sesuatu dalam kotak blindbox,” katanya.
Menurut Nornazumi, minatnya mula berkembang lebih serius pada awal tahun ini apabila rakan-rakan turut mempengaruhinya untuk membeli.
“Kalau keluarga, saya cakap benda ini percuma sahaja,”selorohnya.
Mengenai wang yang dibelanjakan demi minatnya itu, dia mengakui tidak pernah mengira jumlah sebenar dan tiada had untuk membeli figura itu.
Malah, dia sanggup menjelajah dunia demi mendapatkan patung yang ada kelainan kerana mainan itu bukan berasal dari Malaysia.-UTUSAN










