Kemampanan negara di tangan mahasiswa

Kemampanan negara di tangan mahasiswa

GENERASI muda universiti memainkan peranan strategik dalam memperkukuh agenda Madani serta mengarusperdanakan prinsip kemampanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGENDA Madani merupakan pendekatan kerajaan untuk memastikan negara berada di landasan betul untuk menuju ke arah negara maju berprinsip dan menjunjung teguh nilai kemanusiaan dan keharmonian rakyat.

Ia diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mula mengetuai cabang eksekutif negara.

Rukun pertama agenda Madani ialah mampan. Istilah tersebut merujuk usaha pembangunan menyeluruh dan bersepadu yang dilakukan untuk memenuhi keperluan kehidupan pada masa sekarang tanpa menjejaskan keupayaan memenuhi keperluan pada masa hadapan.

Pembangunan mampan mencakupi pembangunan fizikal, kestabilan politik, kesejahteraan sosial, kualiti alam sekitar dan kekukuhan ekonomi dalam konteks meningkatkan taraf serta kualiti kehidupan rakyat.

Dalam erti kata lain, pembangunan mampan menjamin perkembangan positif dalam semua aspek kehidupan.

Dengan kata lain, ia merupakan usaha holistik bagi menanam bukan sahaja kesedaran dalam kalangan rakyat bahkan juga merujuk kemampuan pentadbir kerajaan untuk memastikan kesinambungan pembangunan fizikal dan kestabilan negara diurus secara tuntas serta memberi pulangan positif kepada negara.

Dalam konteks mahasiswa sebagai pewaris kepimpinan negara dan pemacu kesejahteraan masa hadapan, kesedaran yang mendalam mengenai kemampanan perlu diberi penekanan secara menyeluruh, merentasi fahaman dan anutan politik masing-masing.

Mahasiswa perlu bersikap terbuka dalam memahami erti sebenar kemampanan melalui pelbagai bentuk unjuran data, sama ada dari segi ekonomi, teknologi, masyarakat, politik, keselamatan, perpaduan kaum, alam sekitar, mahupun reputasi negara di peringkat global.

Bagi mendukung aspirasi tersebut, mahasiswa perlu memiliki iltizam yang tinggi untuk memberi tumpuan kepada beberapa perkara pokok.

Pertama, mereka perlu menguasai kepakaran dalam bidang pengkhususan program yang diikuti, memandangkan negara amat memerlukan tenaga pakar berilmu dalam pelbagai bidang, sama ada dalam aliran sains tulen mahupun sains kemasyarakatan.

Kedua, mahasiswa perlu membina nilai kendiri dan kekuatan kerohanian yang mampan agar mampu menghadapi pelbagai cabaran sebagai pemimpin negara pada masa hadapan.

Ketiga, mereka perlu meningkatkan kemahiran asas kepimpinan seperti kecekapan komunikasi dalam pelbagai bahasa, penguasaan pengetahuan am yang luas serta penghayatan nilai integriti.

Keempat, mahasiswa perlu melatih diri menjadi individu yang kritikal dan analitik dalam menilai sesuatu isu, bagi mengelakkan diri daripada dimanipulasi atau dijadikan alat oleh pihak berkepentingan.

Kelima, mereka perlu menanam semangat cintakan negara, bangsa dan agama melebihi kepentingan diri dan keluarga, demi melahirkan generasi pejuang yang bersedia mempertahankan negara sekiranya berdepan krisis antarabangsa.

Keenam, mahasiswa perlu mewujudkan hubungan erat dengan masyarakat melalui program khidmat bakti seperti tautan kasih dan bakti siswa, agar mereka memperoleh gambaran tepat tentang realiti kehidupan masyarakat setempat.

Ketujuh, mereka perlu merebut peluang menyertai program keusahawanan yang dianjurkan pihak universiti atau Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), dengan tujuan melahirkan mahasiswa yang berpotensi menjadi pencipta peluang pekerjaan dan majikan pada masa hadapan.

Ketujuh-tujuh nilai teras tersebut berperanan melahirkan seorang mahasiswa bukan sahaja berilmu pengetahuan, malah memiliki kecintaan tinggi terhadap kemajuan dan kemakmuran negara.

Kemampanan negara dalam segenap aspek pula amat bergantung kepada kesiapsiagaan generasi masa hadapan yang berwibawa dan berintegriti.

Dalam konteks kemampanan kepimpinan negara, menjadi keperluan strategik untuk melahirkan kader-kader kepimpinan dalam kalangan mahasiswa agar kesinambungan kepimpinan dapat diperkasa dan dilestarikan secara berterusan.

Mahasiswa wajar beriltizam untuk tampil sebagai ejen penyatuan masyarakat, bukannya menjadi pencetus perpecahan. Justeru, mereka perlu menilai potensi diri sebagai pemimpin masa hadapan yang mampu berucap di pentas antarabangsa dengan menggunakan lingua franca secara fasih, bernas dan berasaskan fakta yang kukuh.

Dari sudut kemampanan sumber negara pula, mahasiswa perlu kreatif dan inovatif dalam menguruskan sumber alam secara lestari. Hal ini boleh dicapai melalui penerapan teknologi pintar seperti internet pelbagai benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) atau pelbagai bentuk teknologi digital yang lain.

Peranan mahasiswa sebagai golongan muda yang berwibawa turut diabadikan dalam Surah al-Kahfi, ayat 13 hingga 14, Allah SWT berfirman: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayat petunjuk.

“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran”.

TASKFORCE PENGUKUHAN MADANI UNIVERSITI AWAM MALAYSIA

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diberi penghormatan untuk mempengerusikan Taskforce Pengukuhan Madani Universiti Awam Malaysia. Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti, Prof. Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin, dipertanggungjawabkan untuk mengetuai pasukan khas.

Sehubungan itu, beberapa siri aktiviti dilaksanakan di kampus UIAM Gombak, antaranya syarahan bulanan oleh Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, yang juga merupakan penyandang Kerusi al-Ghazali.

Syarahan tersebut diharap dapat menyuntik aspirasi dan semangat keilmuan kepada mahasiswa UIAM dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) secara keseluruhannya.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Pensyarah Kulliyyah Komunikasi dan Teknologi Maklumat (KICT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×