Jangan remeh, politikkan siasatan SPRM

Jangan remeh, politikkan siasatan SPRM

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak sepatutnya diremehkan atau dipolitikkan kerana ia berdasarkan fakta dan bukti.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius laporan yang cuba menggambarkan seolah-olah SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya bertindak atas arahan politik berhubung kes syarikat berkaitan ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador di Sabah.

“SPRM menjalankan siasatan mengikut kerangka undang-undang sedia ada, khususnya Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan. Semua siasatan melibatkan dokumen, saksi dan transaksi kewangan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Adalah bidang kuasa mutlak AGC untuk memutuskan sama ada sesuatu kes mempunyai asas pendakwaan atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, tuduhan bahawa siasatan ini ‘diarah’ atau ‘dilindungi’ oleh mana-mana pemimpin politik adalah tidak berasas dan berniat jahat.

Menurut beliau, perundangan negara menetapkan bahawa keputusan untuk mendakwa dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya yang bebas, bukannya oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Dalam pada itu, kata Jais, kelajuan siasatan juga bukanlah bukti kelemahan.

Menurutnya, kecekapan siasatan tidak wajar diputar sebagai alasan untuk menimbulkan syak wasangka.

“Ada kes yang lebih cepat selesai kerana bukti jelas dan ringkas, ada pula kes memerlukan masa lebih panjang kerana melibatkan jaringan transaksi kompleks. Oleh itu adalah tidak adil untuk membandingkan secara selektif antara kes yang berbeza sifatnya,” katanya.

Tambah beliau, siasatan ditutup bukan bermakna seseorang itu ‘bersih selama-lamanya’.

“Sekiranya muncul bukti baharu, siasatan boleh dibuka semula pada bila-bila masa. Oleh itu, serangan terhadap integriti SPRM hanya kerana tidak selari dengan persepsi politik sesetengah pihak boleh melemahkan usaha membanteras rasuah secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×