JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto membuat kejutan politik apabila merombak Kabinetnya secara drastik kelmarin, kurang setahun selepas memegang tampuk pemerintahan.
Menteri-menteri yang digugurkan adalah Budi Arie Setiadi (Menteri Koperasi), Abdul Kadir Karding (Menteri Perlindungan Pekerja Migran), Budi Gunawan (Menteri Koordinator Politik dan Keamanan) dan Dito Ariotedjo (Menteri Belia dan Sukan) serta Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati.
Langkah ini hadir selepas gelombang tunjuk perasaan besar-besaran yang mengorbankan sekurang-kurangnya 10 nyawa dan mencederakan ratusan selain mencetuskan krisis kepercayaan terhadap kepimpinan baharu negara.
Tindakan Prabowo sebagai cubaan berani meredakan kemarahan rakyat. Menteri-menteri yang digugurkan, seperti Budi Arie dan Abdul Kadir Karding, sebelum ini terpalit dengan kontroversi berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.
Sri Mulyani pula, meskipun disanjung di peringkat antarabangsa, menjadi simbol ketidakpuasan rakyat terhadap dasar fiskal yang dianggap terlalu ketat dan tidak berpihak kepada rakyat miskin.
Rumah beliau turut dirosakkan perusuh dalam protes baru-baru ini.
Namun, pengguguran barisan menteri ini memberi kesan besar kepada pasaran kewangan.
Rupiah jatuh lebih satu peratus serta-merta, manakala indeks saham Jakarta susut akibat kebimbangan pelabur terhadap kemungkinan kerajaan menghala ke arah perbelanjaan populis yang tidak mampan.
Purbaya Yudhi Sadewa yang menggantikan Sri Mulyani memang berpengalaman, tetapi belum terbukti mampu mengembalikan keyakinan pelabur jangka panjang.
Dari sudut politik pula, banyak penganalisis melihat rombakan ini sebagai usaha konsolidasi kuasa oleh Prabowo, bukan semata-mata penyelesaian isu dasar.
Beberapa tokoh yang digugurkan rapat dengan bekas Presiden Jokowi atau PDI-P termasuk Budi Gunawan, yang dianggap proksi kepada Megawati Soekarnoputri.
Tempat mereka kini diisi atau akan diisi oleh tokoh-tokoh yang lebih mesra dengan Gerindra, parti Prabowo sendiri.
Apa yang lebih membimbangkan, isu-isu teras yang mencetuskan kemarahan rakyat seperti ketidaksamaan ekonomi, kebajikan sosial, dan ketelusan pentadbiran masih belum ditangani secara tuntas.
Jika diukur dari segi respons awal pasaran dan kelegaan sementara daripada tekanan politik, mungkin positif buat masa ini.
Tetapi dalam konteks jangka sederhana dan panjang, rombakan ini hanya akan benar-benar berbaloi sekiranya ia diikuti dengan pembaharuan dasar yang menyeluruh, menyentuh akar permasalahan rakyat dan mengutamakan kepentingan negara melebihi politik dalaman.










