BALI: Banjir di pulau percutian Bali di Indonesia meragut sekurang-kurangnya enam nyawa minggu ini dan menutup beberapa jalan utama di ibu kota, sekali gus menjejaskan destinasi pelancongan sibuk itu.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Bali, I Nyoman Sidakarya berkata, hujan lebat berterusan sejak malam Isnin hingga pagi Selasa mengakibatkan dua bangunan runtuh di Denpasar, sekali gus meragut empat nyawa.
Agensi Mitigasi Bencana Indonesia pula melaporkan dua lagi kematian serta 85 penduduk terpaksa dipindahkan di wilayah Jembrana akibat bencana tersebut.
Banjir terus melanda Bali setakat hari ini, kata Ketua Agensi Mitigasi Bencana Indonesia, Suharyanto, kepada pemberita.
Akses ke lapangan terbang antarabangsa pulau itu berhampiran Denpasar juga terhad apabila hanya lori dibenarkan menggunakan jalan berkenaan, menurut Nyoman.
Video yang tular di media sosial menunjukkan banjir di jalan utama hingga menyebabkan kesesakan teruk.
Beliau berkata, kira-kira 200 anggota penyelamat dikerahkan.
Hujan lebat turut menyebabkan banjir di wilayah Nusa Tenggara Timur, yang mengorbankan empat orang, menurut agensi itu.- AGENSI










