BANGKOK: Bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra memulakan hari penuh pertamanya di penjara hari ini selepas mahkamah memutuskan beliau sebelum ini menjalani hukuman penjara secara tidak sah di hospital.
Keputusan Mahkamah Agung pada Selasa memberi tamparan hebat kepada tokoh politik terbesar Thailand itu, apabila hakim memerintahkan pemindahan Thaksin yang berusia 76 tahun ke Penjara Reman Bangkok.
Pada hari yang sama, beliau telah dipindahkan ke Penjara Klong Prem di mana beliau dijangka menjalani baki hukuman setahun penjara, menurut kenyataan daripada jabatan penjara.
Tiada kemas kini lanjut diberikan pada Rabu oleh pihak jabatan penjara mengenai kes Thaksin.
Thaksin dipilih sebagai perdana menteri pada tahun 2001 dan sekali lagi pada tahun 2005, namun beliau melarikan diri ke luar negara selepas penggal kedua beliau dipendekkan oleh rampasan kuasa tentera.
Selepas kembali ke Thailand pada Ogos 2023, beliau dikenakan hukuman penjara lapan tahun bagi tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Namun beliau tidak pernah menghabiskan satu malam pun dalam sel dan terus dibawa ke bilik hospital swasta, hukumannya dikurangkan kepada setahun melalui pengampunan diraja, sebelum dibebaskan lebih awal di bawah skim pelepasan bagi banduan warga emas.
Waktu kepulangannya serta pemindahannya ke hospital, yang berlaku serentak dengan pembentukan kerajaan baharu oleh parti beliau, Pheu Thai, telah menimbulkan syak wasangka orang ramai terhadap kemungkinan wujudnya perjanjian sulit dan layanan istimewa.
Mahkamah Agung pada Selasa memutuskan pelaksanaan hukuman penjaranya adalah tidak sah dan beliau tidak mengalami keadaan kecemasan perubatan yang kritikal.










