PASIR MAS: Dua bekas tentera berdepan hukuman penjara selama 14 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan menceroboh bilik koperasi dan bilik guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Melintang, Jeli pada hujung bulan lalu.
Tertuduh, Mohd. Izaman Sazli Che Noordin, 40 dan Mohd . Zulkifli Mat Ghani, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali. Mengikut pertuduhan pertama, mereka yang bekerja sebagai pengait buah sawit didakwa menceroboh bilik koperasi SMK Batu Melintang, kira-kira pukul 1 pagi pada 31 Ogos lalu dan mencuri wang tunai RM15.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menceroboh bilik guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah sama pada waktu dan tarikh sama sebelum mencuri wang tunai RM10.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut. Majistret membenarkan dua bekas tentera itu diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan, namun tiada bayaran jaminan dibuat.
Mahkamah menetapkan 21 September ini untuk sebutan semula kes dan fakta hukuman. – UTUSAN










